Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Kupas isu banjir, Izzah guna lirik Wings Bernafas Dalam Lumpur
Diterbitkan:  Jan 21, 2022 11:28 AM
Dikemaskini: 8:04 AM

Bagai bernafas dalam lumpur, demikian simbolik digunakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar untuk menunjukkan betapa ketinggalannya Malaysia dalam membangunkan sistem pengurusan bencana berbanding negara Asean lain.

Nurul Izzah menggunakan lirik Wings daripada lagu berjudul Bernafas Dalam Lumpur itu bagi mengingatkan kerajaan agar sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh.

“Tiada yang membezakan antara anggota Umno, Keadilan PAS ataupun DAP sedangkan kita sesak bernafas dalam lumpur.

“Malaysia merupakan satu satu negara Asean yang tak mempunyai undang-undang khusus berkaitan pengurusan bencana,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat semalam.

Pada paparan Insta Story di akaun media sosialnya pula, Nurul Izzah memuat naik serangkap lirik daripada lagu Wings berkenaan dengan diiringi tanda pagar #bernafasdalamlumpur:

Lama mana lagi hendak ku turutkan?

Kata telunjuk yang menuding kepalaku

Sabar apa lagi hendak ku katakan?

Hingga aku bernafas bagai dalam lumpur

Kasihan

Bencana banjir yang melanda beberapa negeri termasuk di Lembah Klang tahun lalu dianggarkan mengakibatkan kerugian sebanyak RM15 bilion kepada ekonomi negara setakat ini.

Kata Nurul Izzah, Malaysia sebaik-baiknya mengibarkan bendera separuh tiang bagi memperingati 57 mangsa yang terkorban dan dua lagi masih hilang.

Untuk rekod, Bernafas Dalam Lumpur adalah lagu daripada album Bazooka Penaka - yang dicipta selepas kumpulan rock tanah air diarah memotong rambut panjang oleh Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Mohamed Rahmat.

Nurul Izzah dalam perbahasannya juga menekankan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas perubahan iklim bagi membincangkan Green New Deal.

“Kita perlu penubuhan sebuah jawatankuasa independen perubahan iklim - yang mampu membincangkan Green New Deal; pengurusan bencana pasca perbahasan dan terpenting, memperlihat hasil konkrit dan membolehkan perbincangan terperinci Akta Pengurusan Bencana.

“Kita perlu menilai KPI pelaksanaan setiap agensi sebagaimana dirancang dalam blueprint @plan_malaysia.

“Kita wajib bertemu 6 bulan selepas hari ini, menerusi jawatankuasa yang sama - yang mampu mengintegrasikan dan mengukur keberkesanan Kementerian Pusat dan Negeri, jabatan dan agensi yang dipertanggungjawabkan bagi menguruskan bencana seperti NADMA, @nahrim , Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) barulah berhasil Malaysia yang kalis bencana dan cabaran masa depan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS