Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Biarpun karakter peribadinya berbeza daripada apa yang ingin ditampilkan dalam lakonan, Zarina Anjoulie tetap menantikan peluang untuk membawa watak seorang ustazah.

Menurut aktres itu, dia ‘mengidam’ watak wanita sebegitu kerana mahu mengelakkan stereotaip yang sering didambakan oleh pelakon lain.

“Kalau ditanya mengenai apa yang saya nak bawakan, jawapannya adalah watak seorang ustazah. Saya sanggup berlakon tanpa bulu mata palsu.

“Bagi saya, ia sesuatu yang cukup menarik dan pastinya peminat juga teruja nak menonton saya bawa watak yang sedemikian.

“Kalau kebanyakan pelakon wanita mahukan watak yang perlu tampil cantik atau anak orang kaya, apa salahnya saya cuba tampilkan kelainan dengan watak sebegini,” katanya.

Pemilik nama sebenar Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul itu berkata, watak ustazah juga boleh memberi kelainan pada sisi karakter yang pernah dijayakannya sebelum ini.

Zarina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Hantu Kuat Ketawa yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Dia membawa watak sebagai Datin Nilam, salah seorang scammer yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah inap desa.

Memang minat sama Mawi

Datin Nilam dan rakan subahatnya iaitu tiga lagi scammer - Amirul (Saiful Apek), Aminah (Syanie Hisham), dan Datuk Nizam (Along Cham) - berdepan misteri suara orang ketawa dan mereka mengambil keputusan untuk menyiasat perkara itu.

Filem kedua arahan Mawi itu akan ditayangkan di saluran Astro First mulai 27 Jan ini.

Walaupun dilihat sudah lama tidak muncul di kaca televisyen dan layar perak, Zarina, 34, mengakui dia sebenarnya masih banyak menerima tawaran berlakon.

Bagaimanapun, pelakon Anak Pontianak itu menjelaskan tawaran yang diterima terpaksa ditolak atas beberapa faktor seperti kekangan masa selain enggan berjauhan dengan anaknya, Martin Ezra Mikael yang baru berusia lima tahun.

“Memang dah lama saya tak berlakon dan banyak tawaran yang saya tolak kerana tak boleh jauh dengan anak.

“Jika tawaran memerlukan saya keluar jauh dari Kuala Lumpur dan Nilai memang saya terpaksa tolak.

“Namun, saya sedia mempertimbangkan sebarang tawaran sekiranya ada,” katanya.

Zarina menjelaskan pada masa sama minatnya terhadap Mawi sejak pengarah itu menyertai Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) antara sebab dia menerima tawaran berlakon dalam filem berkenaan.

“Sejak AF3 lagi saya dah memang minat kepada Mawi. Jadi, apabila ditawarkan untuk berlakon di bawah arahannya, saya terus bersetuju.

“Saya juga sukakan karakter Mawi yang menitikberatkan agama dan pandai mengaji,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS