Impian Ani Mayuni dan Shidee untuk melangkah ke konsert final pada minggu hadapan tidak kesampaian apabila dia diumumkan tersingkir dari pentas Gegar Vaganza 8 (GV8) minggu separuh akhir malam ini.
Ani yang membawa lagu Sumpah nyanyian asal Aina Abdul dan Let’s Get Loud (Jennifer Lopez) memperoleh 61 peratus manakala Shidee yang tampil menyampaikan lagu medley Sedetik Lebih (Anuar Zain) dan Kerna Dia (Yasin Sulaiman) hanya memperoleh markah sebanyak 58.30 peratus sekali gus menjadikan mereka berada pada kedudukan paling rendah.
Aweera pula tampil dengan persembahan memikat hati juri sekali gus mencuri perhatian ramai melalui lagu Kerja Gila dan Fantasia Bulan Madu (Search) dengan markah 81.30 peratus.
Selain Aweera, peserta lain turut ke peringkat akhir minggu depan adalah Azan Scan, Adibah Noor, Suki Low, Nikki Palikat dan Aliff Aziz.
Bagi Anugerah Bintang Paling Power Meow, menjadi milik Aweera sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.
Sementara itu, Aliff menjadi pemenang Anugerah Betul Betul Luar Biasa Digi yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, manakala Suki pula memenangi Anugerah Cuckoo.
Persembahan bintang GV8 dinilai juri tetap GV8, iaitu Ramli Ms, Shafinaz Selamat serta Hetty Koes Endang sebagai juri tetap manakala Rosyam Nor selaku juri jemputan.
GV8 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam sembilan malam.
Berikut adalah markah penuh peserta:
- Suki Low - 64.8 peratus
- Adibah Noor - 65.2 peratus
- Shidee - 58.30 peratus
- Aliff Aziz - 72.20 peratus
- Azan - 69.70 peratus
- Ani Mayuni - 61 peratus
- Aweera - 81.30 peratus
- Nikki Palikat - 76 peratus