Orang bodoh, bising. Orang pandai, bising. Hanya yang bijaksana diam.
Sekali baca kita sangka bahawa kata-kata hikmah itu datang daripada seorang cendekiawan, tapi percayalah apabila kami katakan bahawa cendekiawan itulah juga yang bahawa siapa yang makan nasi dan nasi tambah, dialah yang kena bayar lebih."
Sinaganaga Lan Benhussain memulakan kerjaya sebagai pereka grafik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum dia menyerahkan dirinya kepada Dawama.
Dan Dawama adalah luka parah yang belum sembuh pada beliau. Sama seperti seluruh bekas kakitangan syarikat berkenaan, beliau masih lagi mengharapkan pampasan atas penutupan perniagaan tersebut.
Seperti mana-mana orang tua, Sinaganaga akan membawa cerita ini berulang kali.
Pada tahun-tahun menulis blog adalah kegilaan ramai, beliau pernah diiktiraf sebagai antara penulis yang berpengaruh besar. Jenaka dalam tulisannya terasa begitu santai.
Sewaktu kami malas untuk dikenali, beliau menjadi sahabat yang baik, justeru ketika dipelawa untuk bertemu, kami jadi sudi. Sudi kerana mahu dikenali dan menumpang populariti beliau barangkali.
Memartabatkan kuih karipap
Apabila dipelawa untuk menerbitkan tulisan kami melalui penerbitan beliau, kami pun seperti dipukau lantas setuju. Walhal kami tahu bahawa penerbitan beliau bukanlah syarikat yang besar.
Buku-buku terbitan Sindiket Sol-jah selalunya santai dan sangat fun. Boleh jadi kerana itu kami sedia untuk berkerjasama dengan kumpulan mereka. Dan hampir semua kulit buku terbitan mereka dikerjakan oleh Sinaganaga.
Sebenarnya, setelah kamu menghantar menuskrip, semua kerja dilakukan oleh beliau. Dari membaca menuskrip hingga kepada susun atur buku. Pendek kata semua buku yang diterbitkan oleh Sindiket Sol-jah adalah hasil penat lelah Sinaganaga.
OP Zahrin dan Zaini Shahrudin - dua orang lagi rakan dalam syarikat tersebut - hanya mempertaruhkan kekacakan mereka untuk memajukan perniagaan. Kita pun tahu siapa mereka jika dibandingkan dengan Mus May sekali pun.
Mus kini kelihatan agak matang dalam semua penampilan akhir-akhir ini.
OP sibuk dengan perjuangan memertabatkan kuih karipap sebagai kuih nasional. Satu usaha yang sia-sia kerana kita semua tahu selagi karipap tidak ditambah cheese, selama itulah karipap akan kekal sebagai kudapan mesyuarat jabatan kerajaan.
Zaini pula masih tertinggal di tahun 1987 dengan rock kapaknya. Masih dibelenggu irama sampai ke tua. Sudah-sudahlah weh.
Dua buku baru terbitan Sindiket Sol-jah ialah Kata Plato Kettew dan juga Velvet Merah. Buku Velvet Merah merupakan puisi yang ditulis oleh Rimanilzah, seorang guru yang perasan rebel kerana sukakan filem Kembara Seniman Jalanan. Walhal daripada nama penanya pun kita tahu bahawa beliau adalah mat belia semasa muda, dan pencinta derita dalam usia menunggu bersara sekarang ini.
Tajuk buku pun Velvet Merah.
Beliau juga sibuk dengan kota basahnya. Sepertinya tidak ada lagi bandar yang lebih romantis dari bandar Taiping itu. Iyalah... cikgu, mana ada duit mahu ke Paris atau Vanice.
Akan rasa 'ditikam'
Orang suruh masuk politik, tidak mahu. Maka terimalah nasib menjadi miskin. Tapi apabila kami fikirkan semula, budak rumah setinggan apabila memiliki rumah yang tidak perlu berkongsi paip air adalah sorga.
Kami belum memiliki buku tersebut lalu tidak adil untuk kami menceritakan apa-apa tentangnya. Namun apa yang boleh kami katakan ialah, Rimanilzah seorang guru bahasa Melayu yang teramat bagus dan beliau juga bertanggungjawab menyediakan buku-buku teks sekolah.
Jika kamu mahu anak-anak kamu mendapat keputusan yang baik dalam subjek Bahasa Malaysia, maka berbaiklah dengan beliau. Dapatkanlah buku karangan beliau itu.
Seperti yang kami nyatakan di awal tadi, Sinaganaga itu seorang yang santai dan sangat fun. Buku-buku terbitan beliau sentiasa menghiburkan dan buku kedua beliau untuk siri Kata Plato adalah gambaran kepada kegembiraan.
'Kata-kata Plato' dalam buku itu adalah ringan seringan-ringannya. Tidak ada sepatah pun kata dari buku itu akan mengubah kerajaan, misalnya, namun di sebalik senyum sumbing yang kamu lakarkan semasa membaca buku berkenaan, kamu akan berasa ditikam.
Dan luka yang ditinggalkan akan lama berbekas.
Lihat saja apabila 'Plato' mengatakan: "Teh tarik yang dia minum pun kita yang bayarkan. Ada hati hipis tu nak angkat sepanduk Guling Kerajaan sebab kenaikan harga barang."
Atau, "Orang perempuan ni macam hujan - kejap renyai, kejap lebat, kejap renyai, kejap lebat. Dan orang lelaki ni macam rerumput - tak boleh nak lari, mesti kena punyalah!"
Banyak lagi kata-kata yang fun dalam buku itu namun yang paling penting tentu saja susuk fizikal buku itu sendiri.
Kecuali buku kanak-kanak, hampir tidak ada penerbit yang berani menjadikan buku itu sendiri sebagai sebahagian daripada karya mereka. Kata Plato Kettew dicetak di atas sekeping kertas yang tidak dipotong, sebaliknya hanya dilipat-lipat.
Sinaganaga pernah berlama-lama di Jepun. Boleh jadi kerana itu beliau terikut-ikut akan gaya origami Jepun dalam menghasilkan buku berkenaan.
Hanya atas keunikan itu sahaja pun sudah memadai untuk kamu mendapatkan buku Kata Plato Kettew.
Kata orang, zaman membaca buku sudah lama berlalu. Namun kami masih berdegil dengan mengatakan bahawa buku adalah ruang 'lari' yang paling luas.
Di sana kita bebas berimaginasi, bebas tersepak apa juga tunggul yang ada dijalan, atau terbang lepas ke segala cakerawala.
Kembalilah kepada buku, dan untuk tidak menyesakkan kepala, kamu boleh bermula dengan mendapatkan Kata Plato Kettew.
Atau jika kamu jenis romantis tidak tentu hala, boleh saja cari buku Velvet Merah karya Rimanilzah, lelaki keliru yang menyintai bahasa Melayu dan pada masa yang sama mempertahankan semua sekolah jenis kebangsaan.