Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana Anzalna bertudung bukan untuk cari keuntungan...

Anzalna mengakui, sejak dia memilih untuk bertudung, banyak sekali tawaran mempromosikan sesebuah jenama hijab ditolaknya.

Hal itu kerana, kata aktres terbabit, dia bertudung itu dengan matlamat utama adalah untuk menutup aurat, bukannya mencari keuntungan.

Katanya, dengan bertindak sebegitu bukanlah bermakna dia menolak rezeki, cuma mengakui masih dalam proses mempelajari banyak perkara, seperti membuat pertimbangan untuk membuat keputusan, serta menitikberatkan soal hati dan menjaga solat.

“Banyak tawaran yang datang, namun saya tak jawab kerana ketika itu belum bersedia.

“Saya bukan tolak rezeki. Siapa yang tak mahu duit? Cuma saya bertudung bukan untuk 'jual diri',” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Nur Anzalna Md Nasir itu, ketika ini dia masih berdepan dugaan dan perlu melalui banyak fasa perubahan sejak melakukan penghijrahan.

“Saya masih dalam fasa perubahan perlahan-lahan, doakan agar saya terus istiqamah,” katanya.

Anzalna berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaru Loveta X Anzalna di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Aktres itu mengesahkan dirinya bertudung sempena menyambut ulang tahun kelahiran suaminya, Hanif Zaki, yang ke-33 pada 16 Sept tahun lalu.

Anzalna berkahwin dengan Hanif pada 21 Feb 2016 selepas beberapa tahun menyulam cinta. Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Eidrees, 2 tahun.

Tak boleh tolak kali ini

Pelakon Bangkitnya Seorang Perempuan itu berkata, dia masih memerlukan masa untuk memadam sepenuhnya imej tidak bertudung yang dimuat naik di media sosial.

Menurutnya, ada sebab untuk dia menunggu dan berbuat demikian.

“Ada imej yang tak boleh dipadamkan lagi kerana saya masih terikat dengan beberapa kontrak. Dalam usaha nak berubah, bukan senang semuanya nak berlaku dalam sekelip mata.

“Insya-Allah, saya akan padamkan gambar-gambar lama apabila ia tak diperlukan lagi,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Loveta X Anzalna, pelakon itu berkata, hatinya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan jenama berkenaan kerana ingin menyambung legasi ditinggalkan pengasasnya, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin.

Untuk rekod, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempatnya, Ayash Affan dua hari sebelum itu dalam keadaan dijangkiti Covid-19. 

Menurut Anzalna, semasa hayatnya, arwah Siti Sarah pernah beberapa kali mendekati dan melamarnya untuk menjadi duta produk keluarannya.

Namun, katanya, tawaran itu terpaksa ditolak kerana dia masih mempunyai komitmen dengan jenama lain.

“Arwah Siti Sarah beberapa kali minta untuk bekerjasama, tapi tak berkesempatan kerana setiap kali tawaran dibuat saya mesti ada kontrak dengan produk lain.

“Tapi kali ni tak boleh tolak walaupun saya sebenarnya dah terima tawaran produk tudung jenama lain sebab mahu jadi sebahagian daripada Loveta,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS