Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
M Sani meninggal dunia di HKL
Diterbitkan:  Jan 11, 2022 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Penyanyi lagu Rindu Hatiku Tidak Terkira, M Sani, meninggal dunia dipercayai akibat penyakit kencing manis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 10 malam tadi.

Berita dukacita itu disahkan anak keempatnya, Nor Saira Farrawahida, yang berkata, arwah bapanya iotu tidak mempunyai penyakit kritikal.

“Arwah bapa meninggal dunia di HKL kira-kira jam 10 malam. Puncanya, kami kurang pasti, tetapi jika diikutkan arwah menghidapi penyakit kencing manis. Namun, bukanlah penyakit kronik.

"Namun Allah lebih menyayanginya. Arwah dimasukkan ke HKL sebab sakit kaki akibat penyakit kencing pada Jumaat lalu.

“Ketika tiba ke HKL, arwah sudah pun meninggal dunia. Bagaimanapun, kami reda atas pemergiannya," kata Nor Saira yang dipetik BH Online.

Tambahnya jenazah M Sani akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa selepas Zohor hari ini.

“Sekarang, jenazah masih berada di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai,” katanya.

Allahyarham M Sani atau nama sebenarnya, Md Sani Abu Yamin, 70, meninggalkan lapan anak melalui dua perkahwinannya.

Dia bergelar penyanyi selepas diangkat sebagai juara Bintang RTM 1971 ketika usianya mencecah 24 tahun.

Allahyarham muncul dengan album Kerna Senyum Ku Terpikat, diikuti tiga EP iaitu Rindu Hatiku Tidak Terkira, Hidup Hanya Sementara dan Hujan Malam.

Dia juga pernah muncul dengan album duet Sedangkan Lidah Lagi Tergigit bersama Allahyarham Sharifah Aini.

Penyanyi berwajah mirip aktor popular Bollywood, Amitabh Bachchan itu juga pernah membintangi dua filem, Si Badul arahan Allahyarham Aziz Sattar pada 1978 dan Toyol arahan Allahyarham Malek Selamat pada 1980.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS