Pelakon Korea Selatan, O Yeong-su, yang membintangi drama bersiri popular, Squid Game, diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Televisyen pada Anugerah Golden Globes ke-79 yang berlangsung semalam.
Yeong-su yang tidak pernah memenangi anugerah Golden Globe itu mengungguli gelaran berkenaan kerana wataknya sebagai Oh II-nam, yang turut dirujuk sebagai pemain 001.
Ia merupakan seorang lelaki tua yang ingin bergembira sebelum kematiannya dengan menyertai permainan itu.
Aktor warga emas itu adalah pelakon Korea pertama dalam sejarah yang memenangi anugerah Golden Globes dan mengetepikan pesaing lain iaitu Billy Crudup (The Morning Show), Kieran Culkin (Succession), Mark Duplass (The Morning Show) and Brett Goldstein (Ted Lasso).
Kemenangan itu diumumkan dalam sebuah majlis persendirian di Los Angeles, selepas siaran langsung tahun ini dibatalkan gara-gara diboikot kerana kurangnya kepelbagaian dalam pencalonan.
Yeong-su memulakan kerjaya lakonannya di atas pentas dengan membuat kemunculan dalam lebih 200 produksi teater dari 1967 sebelum beralih ke bidang filem dan televisyen.
Sejak ditayangkan pada Sept tahun lalu, Squid Game menjadi siri Netflix paling banyak ditonton di 94 negara, dengan 142 juta isi rumah menonton drama distopia Korea Selatan itu.
Susah dah jadi popular
Okt tahun lalu, Yeong-su mendedahkan bagaimana kehidupannya berubah selepas tayangan Squid Games.
“Saya rasa berada di awangan. Ia membuat saya berfikir: aku perlu bertenang, menguruskan pemikiran dan mengawal diri.
“Begitu ramai yang menghubungi saya dan disebabkan saya tak mempunyai pengurus, agak sukar untuk saya mengendalikan panggilan dan mesej banyak yang diterima. Mujur ada anak perempuan yang membantu.
“Dunia juga sudah berubah. Walaupun hanya pergi ke kafe misalnya, saya perlu berhati-hati dengan penampilan. Dan perkara tu membuatkan saya terfikir: susah juga jadi popular,” katanya.
Sementara itu, turut berjaya membawa pulang trofi kemenangan ialah filem The Power Of The Dog apabila ia dinobatkan sebagai filem terbaik, menewaskan Belfast, Coda, Dune serta King Richard.
Kemenangan filem disiarkan di Netflix itu sekali gus membawa tuah kepada pengarahnya, Jane Champion, yang turut dipilih sebagai pengarah terbaik manakala pelakon Kodi Smit-McPhee menang pelakon pembantu lelaki terbaik filem.
Filem West Side Story pula berjaya membolot tiga anugerah sebagai filem muzikal atau komedi terbaik, pelakon wanita terbaik bagi kategori muzikal atau komedi melalui Rachel Zegler dan pelakon pembantu terbaik (Ariana DeBose).
Selain itu, Will Smith pula berjaya membawa pulang trofi pelakon lelaki terbaik bagi kategori drama untuk watak Richard Williams dalam King Richard.
Bagi kategori pelakon wanita terbaik (drama), ia dimenangi Nicole Kidman melalui lakonannya sebagai Lucille Ball dalam Being the Ricardos. Nicole mengalahkan Kristen Stewart (Spencer), Olivia Colman (The Lost Daughter), Lady Gaga (House of Gucci) dan Jessica Chastain (The Eyes of Tammy Faye).
Andrew Garfield memenangi trofi Golden Globe pertamanya sebagai pelakon lelaki terbaik (kategori filem muzikal atau komedi) melalui Tick, Tick... Boom!.
Kategori drama terbaik dimenangi Succession yang menewaskan empat pesaingnya iaitu Lupin, The Morning Show, Pose dan Squid Game yang rata-rata kesemuanya adalah karya drama hebat dengan lakonan mantap.
Filem terbaik bukan berbahasa Inggeris dimenangi Drive My Car dari Jepun, mengalahkan Compartment No 6 (Finland/Russia/German), The Hand of God (Itali), A Hero (Perancis/Iran) dan Parallel Mothers (Sepanyol).