Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Penempatan seniman dan karyawan-karyawan yang berserakan

Sayugia ingin sekali hajat di hati saya mencadangkan kepada kerajaan supaya dibina satu penempatan untuk karyawan seni tanah air.

Akibat daripada arus pembangunan yang pesat dalam industri seni saya merasakan sangat perlu adanya penempatan buat karyawan seni daripada semua aliran dikumpulkan di suatu kawasan.

Harapnya seni Tanah Melayu disatukan dan dimajukan bawah payung besar penempatan seni.

Peredaran masa dan lompongnya ruang penyatuan karyawan dewasa ini menjadikan saya berfikir apakah kita mahu membiarkan karyawan tanah air terus dibiarkan berserakan?

Sedangkan negara memiliki pengkarya-pengkarya hebat dan bermutu tinggi dalam bidang masing-masing.

Pelukis, pengarca, tukang besi, tukang prop, penulis lirik, penulis skrip, pembikin film, penyanyi, pengarah, pelakon, penari, pereka fesyen, jururias, juruadun filem dan muzik, penerbit, pelakon, pembantu pelakon, kru belakang tabir, juruteknik suntingan filem, jurugambar, ahli muzik dan lain-lain yang bersangkutan dengan seni karya tampak serta pegun haruslah disatukan.

Saya tidak bicara sembarangan dalam hal ini.

Pada pengamatan saya jika dibiarkan golongan seniman ini berpecah belah, ia menampakkan mereka melakukan kerja seni sendiri-sendiri, tidak bersatu dalam penyatuan yang mantap hingga membuatkan orang seni sendiri tidak kenal pada golongan mereka.

Tiada sikap kekeluargaan yang membuatkan mereka mengenali kaum mereka.

Saudara, biras, anak saudara, malah mereka seperti tiada bapa dan ibu yang dapat memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak.

Pengalaman lalu menjadikan minda dan jari saya menaip surat ini, yang saya tujukan buat semua penggiat seni tanah air termasuk penulis dan wartawan seni.

Saya boleh juga dikatakan mengambil contoh Studio Jalan Ampas (gambar artis di atas sekali), tetapi contoh itu hanyalah imbasan dalam benak kerana saya tidak pernah berada di situ pada masa itu.

Tetapi saya yakin kepenyatuan ahli-ahli Studio Jalan Ampas telah mencipta gelombang seni visual, seni tari, lagu, tukang besi, kayu, cat dan arca.

Seniman yang bernaung bawah Studio Jalan Ampas berjaya menaikkan seni Tanah Melayu di mata dunia.

Jadi model penempatan seni ini diambil juga daripada penempatan seniman di Hollywood.

Jadi pada waktu dan saat inilah masanya negara harus membina sebuah penempatan seniman supaya mereka lebih menyatu, malah kebajikan mahupun perbalahan tentang royalti seni juga dapat dipulihkan.

Apabila negara ada penempatan seniman, yang jauh dapat didekatkan dan yang dekat menjadi semakin erat - seperti hubungan kekeluargaan.

Lantas ia akan membuahkan percantuman idea-idea yang lebih profesional dalam karya-karya penggubah dan seniman lain.

Perkara ini perlu dilanjutkan lagi perbincangannya untuk menentukan kawasan mana di kota Kuala Lumpur yang baik untuk dijadikan penempatan seniman.

Negara tidak boleh mengambil ruang yang dimiliki oleh perbadanan atau orang persendirian.

Ia mestilah penempatan baru atau kawasan baru yang dibuka khas untuk keperluan ini.


PohonHijau ialah seorang penulis-pengubah lagu, pemuzik, pelukis dan penyanyi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS