Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak lena tidur terkenang mangsa banjir, Aznil bina Kedai Percuma Pak Nil

Pengacara Aznil Nawawi atau Pak Nil mengakui tidurnya tidak lena sejak kebelakangan ini ekoran asyik memikirkan nasib mangsa banjir.

Dia justeru mendapat idea untuk mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil.

Katanya, usahanya itu bermula selepas dia mengumpulkan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor membina semula hidup baru.

“Cetusan idea datang selepas saya melakukan usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ.

“Saya sebelum ni dihubungi seorang pengikut Instagram yang mengadu masalah mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir.

“Bila jejakkan kaki ke kawasan tu, saya turut berkongsi kesedihan melihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, kedai percuma yang ditempatkan di sebuah kawasan di situ ditubuhkan pada 30 Disember lalu.

Melalui pemerhatian Aznil, 59, kawasan terbabit seakan terpinggir daripada pandangan umum malah dia mendapati, bantuan orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) juga agak kurang.

Kongsinya lagi, penduduk kampung sebelum itu makan makanan yang dimasak secara rewang menggunakan modal sumbangan yang dikutip dalam kalangan pengikut media sosial miliknya.

“Dalam sehari kami boleh sediakan hampir 1,000 bungkusan makanan kepada mangsa banjir. Mereka hanya bergerak pulang dari PPS selepas banjir surut.

“Tapi kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan baik pulih rumah mereka. Barang keperluan asas untuk dapur dan keperluan diri pun tak ada.

“Tu yang saya terfikir kenapa tak wujudkan saja kedai percuma untuk mereka,” katanya.

Pada awal, menurut Aznil, dia bekerjasama dengan dua buah syarikat untuk membeli barang asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal dan lampin bayi.

Kemudian katanya, timbul idea untuk mengumpul keperluan asas berkenaan dari duit sumbangan orang ramai.

“Saya sendiri beli barang-barang tu guna duit sumbangan dan letakkan di satu kedai yang yang menyediakan keperluan asas secara percuma.

“Mangsa banjir boleh ke kedai tu untuk ambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka saja,” katanya.

Aznil mengalu-alukan sumbangan orang ramai sekiranya mereka sudi menyalurkan bantuan bagi menambah keperluan di kedai tersebut.

Menurutnya, mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghantar sendiri barang-barang itu ke sana atau menyalurkan wang ke akaunnya atau boleh ke Instagram @aznilnawawihm untuk menyemak butiran lanjut.

“Kedai ni akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Sementara itu, berkongsi lanjut pengalamannya sewaktu kunjungan kemanusiaan ke sana beberapa kali, Aznil berkata, air matanya jatuh bercucuran.

“Amat sedih apabila tengok keadaan yang perlu mereka hadapi. Situasi yang ditempuhi mereka membuatkan saya sentiasa terbayangkan bagaimana jika saya atau keluarga yang perlu melalui dugaan sama.

“Saya fikir tak boleh nak berpeluk tubuh, perlu lakukan sesuatu untuk bantu mangsa bina kehidupan mereka semula,” katanya.

Namun, menurut Aznil, dia tidak menyangka begitu ramai rakyat Malaysia yang prihatin dan pemurah terutama selepas mengajak pengikut akaun media sosialnya seperti TikTok dan Instagram untuk mencari dana.

“Rakyat Malaysia sesungguhnya masyarakat yang pemurah, Subhanallah… Hari pertama saya umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan yang diterima luar biasa.

“Saya menangis lihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan tu saya agihkan kepada wakil saya di sana.

“Itulah yang menjadi motivasi untuk saya teruskan dengan kerja-kerja kemanusiaan ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS