Penyanyi, ahli perniagaan dan aktivis kemanusiaan Heliza Helmi membuka lembaran tahun tahun 2022 dengan melangsungkan pernikahan dengan jutawan muda, Mahadi Badrul Zaman.
Pasangan itu sah bergelar pasangan suami isteri dengan sekali lafaz jam 11.11 pagi tadi yang dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.
Mas kahwin berupa sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran dipersembahkan pada majlis tertutup itu.
Hal itu disahkan lelaki dikenali dengan nama Fizz dari BenSignatures Event Wedding Planner.
“Butiran selanjutnya belum berjaya diperolehi.
“Heliza akan maklumkan butiran lain kemudian,” katanya melalui Whatsapp.
Selepas pernikahan, pasangan itu diraikan bersama ahli keluarga dan kenalan terdekat di Lanai Asmara juga di Putrajaya.
Malam esok pasangan itu akan diraikan di sebuah hotel terkemuka.
Terdahulu, Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 35, mengakui dirinya tidak pernah tertekan saat diaju soal kahwin.
Katanya, fokus utama sebelum ini hanyalah kepada keluarga dan misi kemanusiannya.
Dia juga berasa bersyukur kerana kedua ibu bapanya juga tidak memberi sebarang tekanan mengenai soal kahwin.