Tahun 2021 mencatat 1001 cerita suka dan duka melibatkan isu semasa dalam kalendar dunia hiburan tanah air.
Ada yang menjadi kenangan manis, tidak kurang juga yang boleh dijadikan iktibar agar ia tidak berulang lagi pada masa depan.
Selain mereka yang berjaya atau sedang menempa nama di persada antarabangsa, tidak kurang juga artis tanah air yang mencuri perhatian dengan kisah kurang enak didengar.
Pelbagai dugaan menyentuh hati - daripada kisah nyawa penggiat seni diragut wabak Covid-19 hingga mereka yang terjejas harta benda ekoran dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan turut dimuatkan dalam sorotan kali ini.
Menjelang tirai 2021 berlabuh beberapa jam lagi, kami di Malaysiakini memaparkan beberapa rangkuman peristiwa gembira, menyayat hati dan panas dalam dunia seni hiburan tanah air sepanjang tahun ini.
* Tauke dikaitkan kes pemerdagangan manusia
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supt Amran Mohd Ghani memaklumkan seorang pelawak terkenal ditahan di sebuah hotel bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia.
Menafikan pada awalnya mengenai kes berkenaan, bekas peserta Raja Lawak musim pertama itu akhirnya mengakui ditahan bagi membantu siasatan.
Pemilik nama sebenar Zamratul Amri Zakaria itu kemudian nekad untuk meninggalkan dunia seni selepas tawar hati kerana mendakwa dihina dan dituduh macam-macam walaupun dirinya tidak didakwa di mahkamah.
* Siti Nordiana ke mahkamah
Penyanyi Siti Nordiana mengambil keputusan untuk menyaman lima sahabat iaitu Lan Solo dan isteri, Nur Sheila Hassim, penyanyi, Syura Badron bersama dua individu lain kerana mendakwa difitnah menerusi siaran langsung di Instagram Story.
Tuntutan saman bernilai keseluruhan RM1 juta itu dibuat selepas tiada permohonan maaf seperti yang dituntut dibuat mereka dalam tempoh 48 jam.
Setakat laporan ini ditulis kes mereka masih berjalan di mahkamah.
* Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz terkait jenaka rogol
Nama Fauzi Nawawi menjadi ‘panas’ selepas satu rakaman video klip memaparkan dia memperincikan sebuah babak rogol bersama aktres Raja Farah dalam program Rumah 107 tular di media sosial.
Tidak berdiam diri, Fauzi dan Astro Warna kemudian memohon maaf kepada Raja Farah kerana 'terlepas cakap' dalam program berkenaan.
* Kelahiran anak kedua Siti Nurhaliza terpalit kontroversi
Penyanyi Siti Nurhaliza selamat melahirkan cahaya mata kedua, seorang bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Afwa.
Bagaimanapun, kelahiran itu mengundang perhatian ramai selepas sekali lagi wajah anaknya tular sebaik dilahirkan. Anak tiri Siti Nurhaliza, Asyraf Khalid dan pasangannya, Tya Arifin, mengaku sudah memohon maaf kepada Siti Nurhaliza susulan kejadian itu.
Siti Nurhaliza dan suaminya, Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, pula dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis tahnik Muhammad Afwa pada 26 April lalu.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad dan penceramah terkenal Azhar Idrus, Don Daniyal serta Iqbal Zain masing-masing turut dikenakan kompaun RM2,000 seorang.
* Pergeseran Caprice - Ebit Lew
Tiada angin, tiada ribut, kisah pergeseran antara penyanyi rap, Caprice dan pendakwah bebas, Ebit Lew tiba-tiba menghangatkan keadaan.
Caprice mendakwa tegurannya terhadap Ebit sewaktu melaksanakan misi bantuan di Palestin pada Julai lalu berakhir dengan dia disekat mengikuti Instagram personaliti terbabit.
* Nizam Zaidi dan dadah
Pelakon, Nizam Zaidi ditahan bersama-sama pengarah, Mohd Latiff Zami, 49, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar.
Ketiga-tiganya mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar dan mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine di mahkamah sama..
* Ahmad Faizal nafi peristerikan Erra
Menteri Belia dan Sukan menafikan laporan yang mendakwa dia sudah berkahwin dengan pelakon dan penyanyi Erra Fazira.
Erra pula melalui Instagram membayangkan dia seolah-olah tidak mahu melayan khabar angin yang mengaitkannya dengan Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu itu.
Katanya, ramai orang memang suka bergosip.
* Lepas digosip dengan menteri, Nora betul-betul bergelar isteri
Penyanyi Nora Ariffin mendedahkan selamat bergelar isteri buat kali kedua dengan Dr Rushdi Ramli yang juga sahabat arwah bekas suaminya, Johan Nawawi.
Dua hari selepas berkongsi berita gembira itu, perkahwinan Nora terpalit kontroversi apabila ada individu mendakwa dia yang menjadi punca penceraian suaminya.
Bagaimanapun Nora dan suami tampil menafikan perkara itu.
Penyanyi Hanya Satu itu sebelum itu didakwa bernikah dengan Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa.
Penggiat seni meninggal dunia
* Benjy di Indonesia
atau nama sebenarnya Khaeryl Benjamin Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada usia 43 tahun akibat penyakit asma kronik di Hospital Medan, Indonesia, 11 Julai lalu.
Allahyarham ketika itu menjalani hukuman penjara 11 tahun di Penjara Tanjung Gusta selepas didapati bersalah cuba menyeludup syabu di lapangan terbang di Medan pada April 2017.
Tempoh hukuman terbabit kurang berbanding 14 tahun dipohon pihak pendakwaan. Benjy juga terlepas daripada hukuman mati.
* Mamat Khalid jatuh di restoran
Pengarah dan penerbit tersohor, Mamat Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River di Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam kerana serangan jantung.
Allahyarham sebelum itu pengsan ketika bermain keyboard dan mempersembahkan lagu Apokalips di restoran miliknya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim.
* Siti Sarah dikejarkan ke hospital
Siti Sarah Raisuddin pada awal memaklumkan risau keadaan dirinya yang sedang hamil tujuh selepas dia dan keluarga dijangkiti Covid-19 daripada pembantu rumah pada 26 Julai.
EKoran keadaan semakin merosot Siti Sarah terpaksa ditidurkan selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.
Penyanyi berusia 37 tahun itu juga menjalani pembedahan bagi melahirkan anak keempatnya pada 6 Ogos lalu.
Selepas 65 jam Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos.
Kontroversi dan perkahwinan selebriti
* Perkahwinan rahsia Hanna Delisha
Pelakon itu mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan dia sudah bernikah dengan Imam Shah yang juga merupakan seorang pelakon dari Singapura pada 18 Feb.
Kejutan berlanjutan apabila ada yang mendakwa perkahwinan berkenaan berlangsung lebih setahun lalu dan tidak mendapat restu daripada ibu Hanna.
* Elizabeth Tan bergelar isteri
Penyanyi berusia 28 tahun itu mengejutkan peminatnya apabila selamat bergelar isteri kepada Dr Siew Jim Ding. Berita tersebut hanya diketahui orang ramai sehari selepas majlis berlangsung apabila gambar perkahwinan mereka tular di media sosial.
Penyanyi Semua Sudah itu kemudian memohon maaf kerana berita perkahwinannya itu tersebar lebih awal sebelum dia mengumumkannya sendiri.
* Perkahwinan Neelofa, Haris
Pelakon, pengacara dan usahawan Noor Neelofa dikompaun RM20,000 kerana tidak mematuhi SOP pada majlis akad nikahnya selain didapati melanggar kebenaran merentas negeri. Suaminya pula dikompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar kebenaran rentas negeri.
Turut dikenakan kompaun 20 anggota keluarga Neelofa yang hadir dalam majlis perkahwinan itu dengan masing-masing berjumlah RM1,500 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal.
Kedua-duanya mereka juga dituduh melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sebuah premis permaidani di Nilai pada Mei.
Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Seremban melepas tanpa membebaskan pasangan terbabit selepas mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Teka-teki status kehamilan Neelofa turut terjawab selepas peguam, Muhammad Shafee Abdullah tidak mahu kes mahkamah ke atas anak guamnya berlarutan disebabkan keadaannya yang sedang hamil.
* Kamal dan Uqasha rahsia perkahwinan
Selepas sebulan menyimpan rahsia, pelakon Kamal Adli, dan Uqasha Senrose tampil membuat pengumuman mereka sudah sah bergelar suami isteri sejak 5 Nov.
Menurut Kamal dan Uqasha, majlis pernikahan hanya dihadiri 100 tetamu di Janda Baik, Pahang dan terpaksa dirahsiakan kerana terikat dengan terma dan kontrak dimeterai bersama Astro.
* Remy Ishak tamat status bujang
Selepas melalui hubungan penuh onak ranjau, pelakon Remy Ishak, 39, akhirnya memilih Roszaliza Yusof atau Ezza, 38, sebagai suri hatinya. Pasangan itu dinikahkan dalam majlis ringkas di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 21 Ogos.
* Nadia Brian bercerai
Pelakon Nadia Brian dan bekas suami, Muizz Nasruddin mengambil keputusan untuk mengakhiri perkahwinan mereka pada 2 April lalu selepas tiada lagi persefahaman. Pasangan itu berkahwin pada 9 Nov 2019.
Muizz sebelum itu menuduh Nadia pernah berlaku curang.
* Suami dakwa Nynaa Harizal diculik
Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas, membuat laporan polis selepas mendakwa isterinya Nynaa Harizal 'dilarikan' oleh bapa aktres terbabit ketika dalam penggambaran sebuah drama pada 1 Nov.
Pada 18 Nov, Nynaa tampil membuat penafian. Bapa Nynaa, Harizal Hashom, 49, pernah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Shah Alam atas tuduhan ugutan menggunakan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki sebelum itu.
Kemelut rumah tangga Nynaa, 25, dan Fahmi berakhir apabila mereka memilih untuk berbaik semula.
Pengiktirafan karya
* Ejen Ali Misi: Juang menangi anugerah
Filem pendek itu memenangi Anugerah Animasi 3D Terbaik di ContentAsia 2021. Ia hasil kolaborasi Primeworks Studios dan WAU Animation merupakan tanda penghargaan Ejen Ali kepada petugas barisan hadapan yang memberikan sumbangan untuk mengekang wabak Covid-19.
* Prebet Sapu wakili Malaysia di Oscars
Prebet Sapu atau judul bahasa Inggerisnya Hail, Driver! terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Oscars ke-94 di Los Angeles pada Mac tahun depan.
* Roh ungguli FFM31
Roh dinobatkan Filem Terbaik FFM31 pada 10 Dis lalu melayakkan filem terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd itu menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 beserta trofi.
Naskhah genre seram yang mendapat arahan Emir Ezwan itu turut menggondol lima anugerah lain iaitu Lakon Layar Terbaik (Emir Ezwan), Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Putri Qaseh), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Junainah M Lojong), Rekaan Busana Terbaik (Tengku Syahmi) dan Skor Muzik Terbaik (Reinchez Ng).
* Azmi Saat jadi bapa tiga hari
Selepas 10 tahun menanti, impian vokalis Caliph Busker Azmi Saat untuk bergelar bapa menjadi kenyataan apabila isterinya, Nazirah Muhammad selamat melahirkan cahaya mata lelaki, Khairul Afnan secara pembedahan pada 27 Sept.
Bagaimanapun Azmi hanya sempat bersama anak pertamanya itu selama tiga hari sebelum bayi berkenaan meninggal dunia kerana kegagalan fungsi otak.
Banjir
* Rumah Ebby Yus hanyut
Pelakon dan pelawak Ebby Yus terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM200,000 selepas kediamannya yang masih dalam pembinaan di Hulu Langat, Selangor dihanyutkan arus deras dalam bencana banjir pada 18 Dis.
* Yantzen bermalam atas bumbung
Rumah Yantzen rosak teruk apabila banjir mencecah melanda pada 17 Dis. Dia yang tinggal bersendirian di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12 Hulu Langat, memberitahu air naik terlalu cepat sehingga dia tidak sempat menyelamatkan harta bendanya.