Akhirnya penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjales, dipilih sebagai penyanyi baru kumpulan Search dalam projek kolaborasi membabitkan kedua-dua negara.
Di Indonesia, Denden bukan lagi asing kerana dia pernah bekerjasama dengan penyanyi popular negara itu seperti Inka Christie dan Judika.
Malah, dia juga pernah mencuri tumpuan ramai berikutan aksinya di ‘blind audition’ program The Voice Bulgaria dan berjaya memukau juri ketika menyanyikan lagu She’s Gone nyanyian asal Steelheart.
Pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib, berkata kemampuan Denden, 38, menyanyikan lagu bernada tinggi dirasakan amat sesuai dengan genre muzik dibawa kumpulannya.
“Search memilih Denden kerana suaranya dan dia boleh menyanyikan lagu bernada tinggi dan amat sesuai dengan Search,” katanya.
Menurut Noordin, dengan usia Denden sekarang Search yakin dia boleh membawakan lagu-lagu kumpulan berkenaan dengan baik.
"Usia Denden cukup sesuai untuk kemuncak prestasi,” katanya.
Kedai menjual barangan rasmi
Selain Noordin dan Kid di posisi gitar serta Denden sebagai penyanyi, Search juga mengumumkan pemuzik berpengalaman luas, Yan, sebagai pemain bass mereka.
Yan atau nama sebenarnya Amran Marsiman bukanlah asing kepada Search. Dia pernah menganggotai band terbabit menerusi album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.
Selain itu, Yan juga pernah bersama Search dalam album Rampage, Double Trouble (bersama Wings) dan Search 10 Tahun.
Noordin berkata, Yan bersetuju untuk menyertai Search kerana keserasian bersama kumpulan itu.
“Dia sudah beraksi dalam banyak konsert Search termasuk ketika Search membuat persembahan di New Music Seminar di New York, AS pada 1991,” katanya.
Selain itu, Search mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram.
Sebelum ini Pae ialah pemain dram undangan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Yazit Ahmad. Malah Pae sudah mula bersama Search sejak Yazit mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Search juga mengorak langkah dengan membuka kedai Search Rock Station di KompleksCampbell, Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada hari ini.
Noordin berkata, Search Rock Station ialah kedai yang menjual barangan cenderahati rasmi kumpulan itu seperti baju-T, kasut dan topi.
“Ia juga menjual alat muzik seperti gitar serta menawarkan proses jual beli gitar di situ.
"Ada juga gitar milik saya dan Kid yang diletakkan di situ sebagai pameran.
“Turut ada di kedai itu ialah pelbagai barangan koleksi peribadi saya dan Kid yang turut dijual,” katanya.
Search melancarkan laman web rasmi mereka iaitu www.fenomenasearch.com dan ia menjadi platform rasmi kumpulan berkenaan untuk menyalurkan sebarang maklumat termasuk berita-berita mutakhir.
“Search juga dalam proses menyiapkan akaun media sosial,” katanya.