Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesta LUAS tiup semangat pemuzik indie, setiakawan mangsa banjir

Dengan pandemik yang berlarutan hampir dua tahun, Pesta LUAS hadir bagi meniupkan semangat kepada penggiat muzik indie yang merupakan antara golongan yang teruk terjejas.

Pengasas LUAS, Gob Ahmad, 27 berkata, Pesta Luas merupakan percubaan dia dan pasukannya meneruskan aktiviti pentas dan sosial selaras dengan peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik.

"Kita akan buat norma baru punya gig, iaitu patuh SOP (prosedur operasi standard).

"Disebabkan pandemik, ramai band yang berpecah, dan ramai yang berdepan kesukaran melangsungkan kehidupan.

"Jadi acara Pesta LUAS - Pembuka Tirai 2022 untuk tarik balik semangat pemuzik dan peminat band indie," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Gob, acara yang bakal berlangsung pada 1 Jan 2021 di Bsync Production, Kuala Lumpur itu akan menampilkan enam kugiran iaitu Kah Kah Celaka, Runs, Loko, Late Night Frequency (LNF), Hacktick! dan Iqbal M.

Selain persembahan pentas, vendor makanan dan pakaian turut disediakan bagi memeriahkan lagi acara itu.

Setiakawan buat mangsa banjir

Lebih menarik lagi, Pesta LUAS bekerjasama dengan kumpulan sukarelawan Gladius Mobile Aid bagi mengutip sumbangan wang dan barangan buat mangsa banjir.

Jelas Gob, semua hadirin yang membeli tiket akan diminta membawa satu jenis barangan keperluan seperti sejadah, tuala atau makanan yang akan dikumpulkan di tapak yang disediakan sebelum diserahkan kepada Gladius Mobile Aid untuk pengagihan kepada mangsa banjir.

 

"Kita juga akan sediakan satu akaun bank untuk mereka yang ingin salurkan sumbangan wang. Semua sumbangan akan diberi kepada Gladius Mobile Aid untuk bantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir," katanya.

Bercerita mengenai Gladius Mobile Aid, Gob berkata kumpulan sukarelawan itu turut disertai pemuzik indie dan artis tempatan yang aktif menjalankan misi bantuan termasuk ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

Antara sukarelawan Gladius Mobile Aid, katanya, termasuklah bekas vokalis Bittersweet, Hafizan; pemain bass Iqbal M, Shah Salleh dan vokalisnya, Iqbal; pengurus kumpulan Hujan, Epain; serta pelakon dan pengacara Nabila Huda.

 

“Senang cerita, Gladius Mobile Aid ini mereka tidak duduk diam, hampir setiap hari jalankan misi dan pergi tolong sana sini.

"Pada hari pesta itu juga mereka akan jalankan tugas dengan membawa kenderaan pacuan empat roda untuk mengagihkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Pesta LUAS direncana berlangsung Sabtu ini bermula tiga petang hingga lewat malam.

Acara itu disokong oleh Junklist, Malaya Roll, Atas Angin, Music Addicts Malaysia dan juga Twt Muzik.

Tiket acara berharga RM50 hingga RM100 berserta kit ujian Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS