Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ebby Yus panjat kesyukuran paru-paru tak 'ditebuk'

Ebby Yus bersyukur paru-parunya tidak perlu 'ditebuk' seperti yang dirancang sebelum ini kerana ujian imbasan sinar X menunjukkan tahap kesihatannya semakin pulih.

Pelakon dan pelawak itu berkata, doktor pakar memaklumkan perkara berkenaan selepas lima hari dia mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Pagi tadi doktor maklumkan bahawa saya tak perlu jalani proses tebuk paru-paru bagi mengeluarkan air.

“Selepas lima hari mendapatkan rawatan, doktor kata paru-paru saya semakin pulih tapi saya masih perlu jalani rawatan susulan selepas ni.

“Cuma saya belum pasti bila dibenarkan keluar hospital,” katanya melalui aplikasi pesanan ringkas WhatsApp.

Diajukan persoalan sama ada kesihatannya sebelum ini merudum disebabkan dia kepenatan hingga dimasukkan ke hospital ekoran sibuk mengedarkan bantuan banjir, Ebby, 56, menafikan perkara tersebut.

“Sebenarnya saya ke hospital sebab mengalami cirit-birit, tapi bila buat pemeriksaan, doktor lihat paru-paru saya ada air.

“Lepas tu saya terus ditahan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Ebby antara artis yang terkesan akibat banjir selepas rumahnya yang masih dalam proses pembinaan di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat dihanyutkan air deras dalam bencana banjir.

Insiden yang tidak terjangka itu, menyebabkan impian Ebby untuk menduduki rumah yang dibina dengan kos RM200,000 tidak kesampaian.

Pelakon sitkom J.K.K itu juga pernah dilaporkan pengsan Oktober lalu selepas mengalami serangan jantung dalam perjalanan menunaikan umrah dan ditahan di sebuah hospital di Maldives selama sehari.

Dia juga sebelum ini beberapa kali pernah dimasukkan ke hospital akibat penyakit lemah jantung dan buah pinggang yang dihidapinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS