mk-logo
Seni & Hiburan
'Esok lusa kita masih undi mereka lagi...'
Diterbitkan:  Dec 28, 2021 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Seperti kebanyakan orang lain, penyanyi Naim Daniel turut menyatakan kekecewaannya terhadap tindak-tanduk orang politik yang dilihat gagal menguruskan masalah dihadapi rakyat.

Katanya, dalam keadaan sebegitu orang ramai juga gagal memanfaatkan kuasa yang ada pada mereka sehingga akhirnya kumpulan yang sama diberikan kepercayaan menjadi kerajaan.

Menurut penyanyi Janji Happy itu lagi masalah dan kesulitan yang sedang dihadapi sekarang juga akan cepat dilupakan orang ramai selepas ini.

“Macam biasa, esok lusa kita masih undi mereka lagi tanpa ingat apa-apa tentang betapa peritnya hari ini.

“Demikianlah episod rakyat Malaysia diperalatkan politikus,” ciapnya di Twitter.

Mengiringi ciapan tersebut, Naim Daniel yang turut terkenal dengan lagu Mainan itu turut berkongsi sebuah klip video daripada seorang pengguna akaun Twitter @sofeahjoned.

Klip video 12 saat memaparkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob - yang menjadi tumpuan jurugambar - memegang penyodok dan mengaut sedikit lumpur.

Aksi itu dipercayai dirakam di salah sebuah lokasi bencana banjir yang melanda Selangor.

Klip video itu diberi judul: “Seronok kan PM main-main sodok. Only in Malaysia.”

Semalam naib presiden Umno merangkap ahli parlimen Bera itu melawat Hulu Langat dan berhenti di beberapa tempat termasuk Taman Sri Nanding dan Kampug Dusun Tua. 

Ismail Sabri menjadi salah seorang menteri yang dikecam kerana didakwa 'berlakon' untuk menunjukkan keberadaan mereka di kawasan mangsa banjir.

Selain Ismail Sabri, turut menjadi sasaran kecaman ialah Ketua Wanita Bersatu merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS