Paling Popular
Terkini

Setelah mendapati maklumat tentang pengebumian beliau, kami pun bertekad bersama-sama untuk mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan.

Namun kerana kami hanya bergatung kepada peranti yang tersedia di dalam kereta - dan kami pula tidak mahir menggunakannya - kami telah tersasar dari sampai pada waktu yang sepatutnya.

Terlepaslah terus peluang kami untuk menghantar beliau ke tempat rehat abadi itu. Maafkan kami sahabat.

Kami dan Sinaganaga Lan Husin (jeneral Sindikit Soljah yang terkenal itu) akan selalu mengumpat beliau. Kami katakan bahawa jika tidak terlalu sibuk mahu 'bersama rakyat' mungkin beliau akan mendapat tempat dalam dunia musik arus perdana. Dan tentu saja tentang betapa selekehnya beliau.

Mungkin kami salah kerana mana tahu, memang beliau tidak mahu masuk ke arus perdana. Tidak seperti kami yang mengada-ngada cuba bergaya dan tidak berjaya, beliau selesa dengan dirinya.

Beliau pula akan mengatakan bahawa kami ini tidak kelihatan langsung kesenimananya.

"Macam orang kerja pejabat," kata beliau mengenai kami.

Sebenarnya, Sinaganaga lebih 'pejabat' dari kami. Bendahari Pena kot!

Sentiasa berlapang dada

Kami berhubung dalam talian lama sebelum saling berjumpa. Waktu itu kami masih di luar. Beliau sering menghantar e-mel untuk bertanya khabar. Mungkin beliaulah yang memperkenalkan kami pada kelompok seniman di Ipoh, Perak.

Atas jasa baik beliau itu, kami mempunyai hubungan yang mesra dengan Yayasan Seni Perak (satu penyesalan juga sebenarnya, kerana laksa mereka tidak sedap.)

Bukan semua orang yang kita kenal akan menjadi sahabat. Ada yang sudah kita kenal berpuluh-puluh tahun namun mereka tidak masuk menjadi rakan dekat. Ada orang yang baru sehari dua dikenal pula menjadi seolah-olah sahabat yang sudah berpuluh tahun akrab.

Beliau ini masuk dalam katagori yang kemudian. Setelah lama berhubung, kami bertemu dan menjadi sahabat.

Ada satu kejadian yang mengakibatkan sedikit ketegangan antara kami dan beliau menjadi orang dewasa apabila berlapang dada dan cuba menenangkan semua orang yang terlibat.

Dari sana semua orang setuju bahawa beliau mengambil semua perkara sebagai proses kehidupan. Apa saja yang datang, baik atau buruk adalah perjalanan yang harus kita semua tempuh. Berlapang dada dan bersangka baik terhadap tuhan merupakan nasihat yang selalu beliau utarakan.

Bangga dengan anak-anak

Baca saja tulisan-tulisan yang ada dan kita akan dapati beliau adalah seorang yang berpuas hati atas segala yang diberikan oleh tuhan.

Untuk yang tidak mengenali, beliau bukan orang yang kaya. Sara hidupnya tergantung pada pendapatan daripada menyanyi di kaki lima namun beliau adalah seorang jutawan sebenar.

Tidak ada keluh-kesah mengenai susah hidup. Semuanya beliau hadap dengan lapang. Kebanggaan beliau ialah anak-anak dan isteri.  Tidak lepas beliau menceritakan betapa anak-anaknya kini sedang dewasa.

Beliau bangga betapa anak perempuannya sudah berkerja tetap. Juga tentang betapa dua daripada tiga anak lelaki beliau meminati seni. Seorang cenderung kepada muzik manakala seorang lagi kepada seni lukis.

Malah beliau amat bangga dengan Adam, seorang lagi anak lelaki beliau yang mengidap autisme.

Dan anak-anak yang ditinggalkan itu seharusnya berbangga mempunyai beliau sebagai bapa.

Kami merasai kehilangan beliau dan seperti selalu-selalu, kita hanya akan sesal tidak selalu berhubung hanya apabila sahabat atau saudara-mara itu sudah tiada.

Selamat jalan Meor Yusof Aziddin. Semoga tuhan sayang kepada kamu sepertimana kami dan keluarga kamu menyayangimu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS