Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cabaran status ibu tunggal gagal lemahkan Laila Nasir
Diterbitkan:  Dec 24, 2021 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal untuk membesarkan dua cahaya mata selepas kematian suami tercinta lapan tahun lalu bukan perjalanan mudah buat pelakon, Laila Nasir.

Namun bagi wanita berusia 52 tahun itu, tiada pilihan lain yang tinggal buatnya melainkan kekal kuat sambil melihat mereka membesar.

Pelakon watak Mona dalam drama rantaian Nur di TV3 itu berkata, pada peringkat awal memang agak sukar untuk dia membahagikan masa antara kerjaya seni dan tanggungjawab membesarkan anak-anak.

“Nak uruskan anak, nak jalani penggambaran lagi, selain kena berniaga. Apabila saya menjadi ibu tunggal sekelip mata selepas suami meninggal, dunia berubah segala-galanya.

“Tapi ketika tu saya bernasib baik kerana kedua-dua anak sudah bersekolah menengah. Jadi mereka sudah pandai membawa diri.

“Saya juga menjaga mereka tanpa bantuan sesiapa. Pada waktu tu ada ketikanya saya macam lemah dan 'lost' (tenggelam punca), tapi anak-anak menjadi suntikan semangat untuk saya bekerja lebih kuat,” kata wanita kelahiran Machang, Kelantan itu.

Bagai pembuka rezeki

Menurutnya pelakon filem Bayangan Maut dan Harry Boy itu, dia sendiri akur memang ada masyarakat memandang serong dan curiga apabila seseorang itu bergelar ibu tunggal.

“Bukan senang nak mengharungi hidup tanpa suami, tambahan pula dengan pandangan itu ini daripada masyarakat. Tapi saya tak larut dengan semua itu. Saya tanamkan semangat positif dalam diri.

“Dalam soal membesarkan anak, saya mahu pastikan yang terbaik untuk mereka tanpa fikir lelah. Kalau kita tak buat itu ini, ibarat takkan ada yang lakukan semua, maka dengan itu saya belajarlah buat semua sendirian," katanya.

Di pihak keluarga pula, katanya, mereka - terutama si ibu - menjadi nadi dan penguat semangat.

"Mak terutamanya banyak membantu saya menjaga anak dan bagi semangat. Doa ibu itu kan sangat mukjizat,” katanya.

Tambah Laila, kini anak bongsunya mula mengikut jejak langkah seninya.

Untuk rekod, Laila menjadi antara penerima Anugerah Ikon Bisnes Kelantan pada 17 Dis lalu. Ia merupakan pengiktirafan bagi mengangkat anak jati Kelantan yang berjaya dalam dunia keusahawanan.

Kini Laila - atau nama penuhnya Norlaila Nasir - bersemangat untuk terus mengukuhkan jenama perniagaan minyak wangi dan pelbagai sambal bilis yang diusahakan sejak 2014.

Sementara itu, pernah memperlahankan rentak seni dan kemudian kembali aktif sejak beberapa tahun lalu, Laila berkata dia kini terus diberi kepercayaan pelbagai produksi.

“Sejak buat kemunculan semula memang saya tak pandang ke belakang lagi. Impak drama Nur bagai pembuka pintu rezeki. Watak ditawarkan juga mencabar.

“Saya baru saja selesai penggambaran drama Cinta Yang Tertangguh arahan Amie Maziah, kemudian saya masuk ke set penggambaran drama Seindah Cinta pula juga sebanyak 20 episod,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS