Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas hampir dua dekad, album kompilasi muzik indipenden dari Perak, Kopi Sechewen membuat kemunculan baru.

Kali terakhir, Kopi Sechewen Vol 3 terbitan Bodysurf Music pada 2003 menampilkan antaranya band bernuansa muzik indie rock dari Ipoh, seperti Elisabele Tears, Free Love, Couple dan Harmacy.

Penerbit Bodysurf Music, Meor Shahiran Meor Amran yang juga pemuzik band indie rock Muck menjelaskan pada satu tahap scene muzik sub budaya di Perak menjadi besar dan sukar untuk mencari kelainan bunyi.

Ini, katanya menyebabkan dia mengambil masa yang lama untuk menyusun kompilasi terbaru Kopi Sechewen Vol 4.

"Mula compiles mulai 2018, sebelum PKP, rancangannya pula memang sudah lama lagi. Kami ada buat audition. Hampir semua band baru dari Perak.

"Ada juga band baru dengan dua tiga orang lama," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Ipoh baru-baru ini.

Menurut Meor Shahiran (gambar, atas), Kopi Sechewen Vol 4 menampilkan sinergi genre muzik sedia ada dan juga bunyian baru yang lebih eksperimental.

Antaranya, band Raksar, Mosquerader, Wickweaky, Glestening redchair dan Soft

"Sebab band dalam kompilasi ini ada sound yang baru, bunyi khas dari Perak.

"Genre muzik pula pelbagai, ada post rock, indie rock, punk, new waves ada, macam nu metal dan sounds eksperimental.

"Raggae pun ada, band Balok People," katanya lagi.

Meor Shahiran aktif bergiat dalam kegiatan muzik indipenden di Ipoh sejak 1995, menubuhkan label muzik Medan Kidd Slackers (MKS) Distro yang menerbitkan kompilasi pertama album Kopi Sechewen.

Pada 1997, Meor Shahiran dan adiknya Ducktoi juga anggota band Muck membuka studio latihan muzik serta menukar nama daripada MKS Distro menjadi Bodysurf Music.

Sejak itu sehingga kini, Bodysurf Music aktif menganjurkan festival dan persembahan muzik tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Meor Shahiran berkata album Kopi Sechewen Vol 4 ini diusahakan penerbitannya oleh Bodysurfmusic dan mendapat tajaan Dana Kreatif Perak.

"Aku nak tonjolkan band-band dari Perak, untuk tunjukkan satu sound yang lain dari yang lain, sesuatu yang baru.

"Aku harap ia akan datang dalam album ini. Dan untuk masa akan datang, kalau boleh kita dapat teroka lagi sound muzik darik Perak yang pelik dan berbagai-bagai ini," jelasnya.

Kopi Sechewen Vol 4 akan dilancarkan pada 26 Disember ini di People Of Remarkable Talents (Port), Ipoh, bawah kelolaan Kampung Karyawan Amanjaya, suatu inisiatif kerajaan Perak yang ditubuhkan pada 2011.

Pelancaran album ini merupakan sebahagian program Ipoh International Art Festival yang sedang berlangsung dari 11 ke 26 Disember ini, menampilkan pelbagai acara menarik melibatkan penyertaan orang ramai dengan syarat patuh SOP kesihatan Covid-19.

Antaranya pameran seni visual, arca serta lukisan, persembahan muzik, bengkel seramik Raku, fotografi, batik dan gubahan bunga Ikebana.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS