Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kira-kira seminggu lalu, band rock tempatan, Terrer mencuri perhatian ramai menerusi single pertama berjudul Hang Loklaq, yang sarat dengan kritikan sinis terhadap apa yang disifatkan sebagai sikap hipokrit dalam beragama.

Setakat ini, video klip lagu tersebut - yang memaparkan anggota band tersebut, yang kesemuanya lelaki, memakai baju kurung - telah mendapat lebih 54,000 tontonan di Youtube.

Terrer yang baru saja ditubuhkan tiga tahun lalu dianggotai Faiq sebagai vokalis, Abel dan Armaan (gitar), Azlan (bass) dan Helmi (drum).

“Kami tubuhkan band ini pada akhir 2018. Ketika itu cuma saya dan Armaan, kemudian kami ambil kawan-kawan (iaitu) Abel, Azlan dan Helmi,” kata Faiq kepada Malaysiakini.

Sebaik saja Hang Loklaq bermula, jelas bahawa ia adalah sebuah karya yang mengandungi kritikan tajam terhadap sikap hipokrasi dalam masyarakat.

Berikut dua baris pertama liriknya: “Hang kata aurat harus dijaga, hang tengok filem blue apa cerita?”

Jadi apakah yang mencetuskan lirik lagu ini?

“Saya menghabiskan usia awal remaja di Kedah. Loklaq adalah perkataan loghat (antaranya) untuk seseorang yang berkelakuan tak senonoh…

“Lirik lagu ini dicetuskan oleh memori pada zaman itu dan juga kerana perlunya mengatakan sesuatu tentang dunia sekarang,” katanya.

Hang Loklaq adalah salah satu lagu yang termuat dalam EP bertajuk Kaum Lelaki yang bakal diterbitkan.

Menurut Faiq, sementara tema yang diangkat dalam lirik lagu-lagu mereka mempunyai kaitan, dari segi muzik mereka lebih rencam.

“Pengaruh muzik kami pelbagai seperti punk, jazz, indie, pop dan sebagainya. Jadi anda boleh jangka perbezaan dari segi muzik dalam setiap lagu.

“Tapi saya rasa tema yang anda mungkin dapat dengar dalam lagu-lagu ini adalah pengalaman sebagai lelaki Melayu dalam masyarakat kita hari ini,” katanya lagi.

Menariknya, klip video tersebut dirakam dua tahun lalu, namun Terrer memutuskan untuk tidak terus menyiarkannya susulan penularan wabak Covid-19. Ia diarahkan pengarah filem Liew Seng Tat.

“Video diarahkan Liew. Saya memang meminati filem arahannya, sebab itu kami dapatkan dia untuk video ini.

“Idea (untuk video) bermula daripada tanggapan berkenaan pandangan mata lelaki,” kata Faiq.

Mereka sedar dengan membangkitkan isu seperti ini, mereka mungkin mengundang perhatian yang tidak diingini, seperti reaksi terhadap penyanyi rap Namewee, artis grafik Fahmi Reza dan kartunis Zunar.

“Ya, kami sedar. Seni memang sukar, buat artis dan juga khalayak. Tapi kita perlu cari jalan untuk menjadi berani dan mengekspresikan diri kita,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS