Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Nordiana tegur peguam tanya soalan 'elok-elok'

Sesi soalan perbicaraan kes saman Siti Nordiana Alias hari ini 'terhenti' seketika apabila penyanyi itu berasa tidak selesa dengan cara peguam defendan mengemukakan soalan.

Menurut penyanyi dan pelakon itu, soalan sepatutnya dikemukakan “elok-elok".

“Minta tolong cakap (bertanya) elok-elok puan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam itu menjelaskan dia bukannya sedang marah.

“Saya bukan marah, memang suara saya begini (lantang),” kata peguam Nurul Hafidzah Hassan.

Terdahulu, Siti Nordiana memberitahu Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur bahasa sidang media berhubung dakwaan memfitnah dibuat lima individu termasuk Lan Solo dan Syura di platform media sosial telah membuatkan kes tersebut menjadi lebih sensasi.

Siti Nordiana atau Nana berkata demikian selepas disoal Nurul Hafidzah mengenai jumlah rating sidang media itu yang dibuat secara dalam talian pada 23 Julai lalu.

“Berdasarkan sidang media itu barulah perkara tersebut (Live IG) menjadi viral pada 23 Julai lalu, betul?” soal peguam itu.

Siti Nordiana kemudian menjawab: ‘Betul’

Hari ini merupakan kali kedua bicara kes saman fitnah itu di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.

Dalam prosiding, peguam Nurul Hafidzah, dan Zeti Zulkifli mewakili dua defendan iaitu Sam Musyadzafar Samin, 43, dan Razidah Ahmad atau Aida G, 42.

Peguam Azlan Abdul Razak dan Abu Hurairah mewakili Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, isterinya Nur Sheila Hassim serta Zuraidah Badron atau Syura.

Siti Nordiana pula diwakili peguam Abang Azlan Abang Ariffin dan Ahmad Syaifulbakri Mohamed.

Pada 3 Ogos lalu, Malaysiakini melaporkan, Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana memfailkan saman ke atas lima individu atas dakwaan memfitnahnya di Instagram.

Siti Nordiana, 37, mendakwa fitnah dibuat kelima-lima individu terbabit sewaktu bersiaran dalam laman Instagram menyebabkannya digambarkan sebagai individu bermoral rendah hingga mengundang kecaman dan sindiran warganet.

Menurutnya, pernyataan fitnah lima defendan itu turut menyebabkan dia digambarkan sebagai individu yang berkira berkaitan isu wang serta makanan sedangkan dirinya tidak begitu.

Menurut writ saman yang dihantar secara e-mel, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta. 

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah.

Pada prosiding itu lagi, Siti Nordiana turut bersetuju dengan cadangan soalan peguam yang menyatakan bahawa Live IG tersebut tidak menjadi tular ketika ia dibuat oleh defendan defendan pada 20 Julai lalu.

Penyanyi Angkara itu sebelum ini berkata, dia membuat sidang media tersebut selepas melihat seorang pemilik akaun YouTube memuat naik Live IG dibuat oldi platform miliknya pada 22 Julai lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Januari 2022 untuk sambung bicara.

Sementara itu, Siti Nordiana yang ditemui selepas perbicaraan berkata, dia sudah bersedia untuk berdepan sesi perbicaraan seterusnya.

“Insya-Allah Nana bersedia. Setakat ni Nana dah buat yang terbaik.

“Cuma ada soalan tak faham tu kena tanya balik. Nana harap semoga semua berjalan lancar lepas ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS