Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Covid-19 rosakkan pelan Che Ta, keluarga nak ke Langkawi
Diterbitkan:  Dec 14, 2021 5:45 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Tanpa diduga, perancangan yang dibuat bagi meraikan sambutan ulang tahun kelapan perkahwinan Rozita Che Wan terjejas apabila suaminya, Zain Saidin, disahkan positif Covid-19 bulan lalu.

Bukan setakat itu, dia yang lebih mesti disapa Che Ta turut mendedahkan, sehari selepas berita dukacita tersebut diterima, anak mereka Aishah Dhia Rana pula disahkan dijangkiti wabak berkenaan.

“Suami memang bergejala seperti batuk, selesema dan demam. Cuma dia sendiri kurang pasti terkena virus itu di mana. Kemudian berjangkit pula kepada Aaisyah.

“Bagaimanapun Aaisyah hanya demam saja, tapi deria rasanya masih ada.

“Saya dan dua anak lelaki pula bersyukur kerana kami sebaliknya disahkan negatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Che Ta berkata perancangan mereka untuk bercuti ke sebuah pulau persendirian di Langkawi sebelum itu juga terpaksa ditunda.

“Ikutkan dalam seminggu juga saya, suami dan Aaisyah ditemani jurugambar menikmati percutian di pulau tu.

“Kami patut pulang daripada percutian sehari sebelum ulang perkahwinan kelapan yang diraikan pada 11 Dis lalu.

“Apa nak buat, kita tak mampu halang semua ni. Suami saya patut menjalani penggambaran sebuah drama bulan lalu, tapi akhirnya kena tolak tawaran tu,” katanya.

Bersyukur semua dah pulih

Menurut Che Ta, tidak ada apa-apa yang mampu mereka laklukan kecuali hanya reda dengan takdir tersebut.

Jelas pelakon itu, ibu dan adik beradiknya turut positif Covid-19 beberapa bulan lalu.

“Habis perancangan itu ini termasuk menyambut ulang tahun perkahwinan terbantut. Tapi apa daya kita nak menghalang semua ini daripada terjadi.

“Walaupun suami dah lengkap dua dos suntikan vaksin, ia bukan jaminan yang virus jahat tu takkan menyerang.

“Virus ni memang ada di sekeliling kita. Apabila kena batang hidung sendiri saat ahli keluarga dan adik beradik sendiri positif wabak itu, kita kena reda.

“Kadang-kadang sejauh mana kita berhati-hati pun kalau nak jadi... jadi juga,” katanya.

Tambah Che Ta lagi, ketika insiden itu suami dan anaknya melakukan kuarantin kendiri di rumah.

Bagaimanapun, Che Ta bersyukur apabila suami dan Aaisyah kini sudah pulih sepenuhnya.

Sementara itu, kata Che Ta, hingga kini dia masih dihujani dengan mesej langsung di media sosial bertanyakan suami yang jarang dikongsi gambar bersama.

Menurutnya, tidak kurang juga ada yang mengandaikan situasi tidak berkongsi gambar bersama di Instagram (IG) bermaksud rumah tangga mereka sedang diuji.

“Kalau yang tahu, suami memang bukan kaki bergambar. Saya pula memang suka bergambar dan melaram. Hampir setiap hari ada saja entri baru dimuat naik di IG.

“Tahun lalu semasa sambutan ulang tahun hari lahir saya, tak nampak kelibat suami pun ada yang buat kesimpulan itu ini. Hakikatnya suami terikat dengan penggambaran drama.

“Dalam hal begini saya tak boleh kawal apa pandangan orang lain dan cuma ambil pendekatan tak peduli kerana orang hanya nampak luaran dan apa yang saya kongsi di IG saja,” katanya.

Che Ta dan Zain bernikah pada 11 Dis 2013 selepas berkenalan ketika membintangi drama Kiah Pekasam pada 2009.

Pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia tujuh tahun. Selain itu, Che Ta juga memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulunya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS