Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Gengseruling tingkat usaha kembalikan muzik seruling 18 Disember
Diterbitkan:  Dec 14, 2021 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Seruling adalah alat muzik yang tidak asing lagi di Malaysia. Namun seiring perubahan masa, alat muzik tradisional itu semakin lama kian dilupakan.

Justeru, Mohammad Khairul Ridzuan atau lebih dikenali sebagai MK Ridzuan, pengasas MK Ridzuan Edutainment, berkata, dia menghasilkan GengSeruling Simposium sebagai salah satu langkah untuk memperkenalkan alat muzik seruling ke khalayak ramai.

“Sebagai salah seorang pengajar alat muzik tersebut, GengSeruling tercipta disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berlangsung akibat wabak Covid-19.

“Dalam keadaan PKP, segelintir rakyat Malaysia tertarik dengan keunikan permainan seruling untuk mengisi masa lapang mereka di rumah.

“Susulan PKP semakin mendapat kelonggaran, MK Ridzuan bakal mengadakan GengSeruling Simposium secara maya pada 18 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Acara itu akan dilancarkan di Youtube Channel MK Ridzuan, pada pukul 8.30 malam.

Kolaborasi itu turut membabitkan pihak produksi seperti TheLane.My, Kamar Seni Studio, Angkasa Event Space, High Castle Production dan dianjurkan oleh MK Ridzuan Edutainment.

Showcase itu akan menggabungkan pemain seruling di Malaysia seperti Mohar, Sesatre, Boyrazli, Chen Kam Chien, Amir Ali, Kesavan, Faliq Auri dan Lim Yen Nam.

Konsert maya itu bakal mempersembahkan dua lagu dari setiap maestro dan lagu-lagu yang dipilih menunjukkan perbezaan gaya setiap maestro dan keunikan penyampaian mereka.

Menurut MK Ridzuan tujuan showcase itu diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang masih aktif bermain seruling.

“Maestro-maestro hebat itu sudah dikenali di industri muzik Malaysia. Ia juga bertujuan meninggalkan sedikit ilmu yang boleh dikongsikan kepada generasi akan datang.

“Acara di GengSeruling Simposium bukan sahaja konsert secara maya. Ia juga menyediakan video perkongsian pengalaman dari maestro-maestro hebat ini dan juga penerangan tentang gaya permainan mereka yang berbeza-beza,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS