Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aliff Iskandar elak gimik, enggan cari publisiti murahan

Biarpun menyedari agak sukar menggalas kerjaya sebagai penyanyi dan pada masa sama melunaskan tugas sebagai bakal guru, Aliff Iskandar mengakui perlu mengimbangi kedua-dua tanggungjawab itu berhati-hati.

Kata Aliff yang juga komposer baru, agar tidak tersalah langkah, dia perlu sentiasa beringat dalam setiap tanduknya untuk menjaga maruah diri, keluarga dan syarikat pengurusannya, Indigital Music

“Saya akui tanggungjawab ni berat untuk dipikul, kedua-dua perkara ni susah nak diseimbangkan dengan sempurna.

“Jika tersilap langkah, pasti membawa padah. Saya bakal jadi cikgu, justeru, perlu jaga nama diri dan keluarga dengan baik,” katanya.

Bagi Aliff, tidak mengapa sekiranya namanya lambat naik asalkan imej yang dipelihara sebelum ini tidak tercemar.

Atas alasan itu katanya, dia sering meminta pandangan pihak yang lebih arif sebelum memuat naik dan berkongsikan sesuatu kandungan dalam akaun media sosial miliknya.

“Saya hanya mahu kongsikan perkara boleh membawa manfaat pada orang sekeliling dan seboleh-bolehnya mahu elak lakukan gimik.

“Saya tak mahu cari publisiti murahan, tak apa sekiranya nama lambat naik (terkenal). Mengenai komen di media sosial, saya sentiasa balas dan hargai mereka yang ikuti perkembangan diri ini.

“Tapi saya akui, ada sedikit kekangan untuk uruskan dari segi masa, namun tahun 2022, saya akan pastikan ada perubahan,” katanya.

Aliff yang nama penuhnya Nor Aliff Iskandar Norazmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaru nyanyiannya di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, Aliff, 21, masih menuntut di semester ketiga ijazah sarjana muda dalam jurusan Pendidikan Muzik di Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.

Ambil masa rakam lagu kerana Covid-19

Sementara itu, mengulas berhubung Takdir, Aliff berkata, dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk merakamkan lagu berkenaan kerana baru pulih daripada jangkitan Covid-19.

“Memang waktu tu keadaan kesihatan belum pulih sepenuhnya tapi saya perlu siapakan juga rakaman lagu ni. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Jumlah keseluruhan ambil masa untuk rakaman memakan masa sampai 10 jam. Keadaan kesihatan baik, cuma pernafasan sedikit terganggu.

“Tapi keadaan tersebut tidak memberikan kesan kepada hasil rakaman dan saya gembira dapat melunaskan tanggungjawab merakamkan lagu Takdir,” katanya.

Takdir menceritakan tentang hubungan cinta yang tidak kesampaian. Karya itu hasil ciptaan Aliff sendiri manakala lirik pula merupakan tulisannya bersama penulis Jaja Ishak.

Lagu itu juga dijadikan runut bunyi untuk drama Saat Ku Takluk Cinta Ini yang akan ditayangkan di slot Samarinda TV3 bermula 20 Disember ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS