Vokalis kumpulan Screen, Gmie menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.30 pagi akibat penyakit buah pinggang berlubang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Berita dukacita itu disahkan oleh anak Allahyarham, Siti Hadirah, melalui posting di Instagram hari ini.
“Abah... akak sayang abah. Abah rehat ya. Al Fatihah... 11 September 1971 - 10 Disember 2021,” katanya.
Menurut Siti Hadirah, beberapa hari sebelum ini, bapanya yang meninggal dunia pada usia 50 tahun itu tidak lalu makan selain kurang sihat.
Katanya, Allahyarham juga pengsan di rumah sebelum keluarga menghubungi ambulans.
“Abah pengsan sebab kekurangan darah. Keluarga buat keputusan bawa Allahyarham ke hospital. Semasa dirawat di hospital, keadaan abah stabil dan kami sempat juga membuat panggilan video.
“Bagaimanapun, dalam pukul 1.30 pagi tadi, doktor menghubungi kami memaklumkan abah kritikal sebelum abah menghembuskan nafas terakhir,” katanya dipetik Astro Awani.
Gmie atau nama sebenarnya Hajmi Ibrahim menempa nama melalui kumpulan Screen masyhur dengan lagu Bila Cinta Didusta.
Allahyarham juga pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga pada 2016.
Sementara itu, rakan artis turut mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham antaranya Ramlah Ram.
“Innalillahiwainnailaihirojiun.. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat Hajmi Ibrahim (Gmie Screen) yang baru saja pergi meninggalkan kita untuk selamanya.
“Sepanjang saya mengenali arwah seorang yang sangat baik budi pekertinya..Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan insan-insan yang dikasihi Allah.
“Aaminn.. Salam takziah saya buat seluruh ahli keluarga arwah,” katanya.