Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peguam: Plagiat karya sastera salah, boleh didenda hingga RM50,000

Memplagiat karya sastera ialah kesalahan separa jenayah yang boleh dikenakan hukuman sehingga RM50,000 jika didapati bersalah, kata peguam Aidil Khalid.

Katanya tindakan itu kesalahan bawah Seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987 berkaitan hak eksklusif penerbitan dan Seksyen 25 akta yang sama, berkaitan hak moral pengkarya asal untuk dikenal sebagai pengarang.

Katanya, bagi kesalahan pertama, seksyen kompaun dan penalti tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 boleh dikenakan.

“Ini adalah kesalahan separa jenayah, dan pihak yang perlu mengambil tindakan adalah pihak kerajaan, iaitu Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Myipo).

“Selepas mendapat keizinan pendakwa raya, berdasarkan aduan dan laporan daripada pengadu atau pengkarya asal yang karyanya diplagiat,” kata Aidil, 37, kepada Malaysiakini.

Peguam yang juga seorang penulis itu diminta mengulas berkaitan tindakan undang-undang yang boleh diambil dalam isu plagiarisme melibatkan karya sastera.

Apa status siasatan DBP?

Bulan lepas muncul dakwaan seorang tokoh bahasa Melayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menciplak sajak penulis Indonesia Setia Naka Andrian untuk media terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DNP).

Dewan Sastera di media sosial memohon maaf susulan perkara itu. DBP pada 18 Disember berkata sedang menyiasat dakwaan itu. Bagaimanapun, sehingga kini statusnya masih tidak jelas.

DBP tidak memberikan maklum balas terhadap soalan Malaysiakini berkaitan perkara itu. Penulis yang didakwa itu juga masih berdiam diri.

Setia Naka Andrian mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang. Pada masa yang sama, ramai penulis dan aktivis di kedua-dua negara tampil menempelak tindakan penulis daripada Malaysia itu.

Kes filem ‘Bohsia’

Sementara itu, Aidil berkata bagi kesalahan melanggar hak moral penulis, tiada peruntukan jelas apakah penalti jenayah yang dikenakan.

Oleh yang demikian, katanya, penguatkuasaannya tidak dibuat oleh kerajaan, sebaliknya pengkarya asal perlu mengambil tindakan sendiri dengan memfailkan saman sivil terhadap pemplagiat.

Perkara itu, katanya, disebut dalam Seksyen 25(5) Akta Hak Cipta.

“Seksyen 37(1) pula memperuntukkan pengkarya asal boleh memfailkan tindakan di Mahkamah sivil untuk mendapatkan ganti rugi, akaun keuntungan serta perintah injunksi terhadap pemplagiat tersebut.

“Sekiranya mahkamah membenarkan perintah injunksi tersebut, dan pemplagiat masih meneruskan kerja-kerja plagiatnya, dia boleh kemudiannya dihukum penjara,” kata Aidil

Ditanya berkaitan kes-kes rujukan, Aidil berkata kes hampir sama pernah dibawa ke mahkamah melibatkan Elias Edris yang mendakwa novelnya diplagiat menjadi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

“Namun, kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan tetapi mahkamah memutuskan bahawa tiada persamaan besar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS