Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN SENI | Apabila mendapat berita yang sahabat kami, Meor Yusof Aziddin, terpaksa ditidurkan akibat dijangkiti Covid-19, datanglah kesedihan yang banyak.

Meor ialah peminat muzik yang tulen. Hidup sehariannya dipenuhi dengan bunyi-bunyian. Sejak zaman remaja sehingga sebelum ditidurkan Meor memperhamba dirinya kepada muzik.

Malah muzik juga adalah sumber rezeki beliau.

Meor adalah sosok yang biasa kita lihat jika ke KL Sentral. Di satu sudut yang dikhaskan, beliau akan berada di sana bersama gitar dan pembesar suara yang sederhana untuk menghiburkan orang ramai yang lalu-lalang.

Ada yang berhenti mendengar, namun lebih ramai lagi hanya akan melintas cepat.

Meor tidak senang dengan busker yang menggunakan peralatan penuh.

"Busking bukan konsert," katanya. Ada betulnya juga pendapat itu.

Di mana-mana dalam dunia busker, biasanya hanya ada seorang pemuzik yang bermodalkan sebuah alat. Dia kemudian akan bernyanyi melayan sunyi. Tidak pula mengganggu.

Jika pun berkumpulan, mereka tidak terlalu bising. Lihat saja para pengamen berkumpulan di kota Jakarta misalnya. Mereka menggunakan peralatan yang minimum.

Fokus membesarkan anak-anak

Selain itu Meor juga seorang penulis yang telah menghasilkan beberapa buah buku. Walaupun buku yang hasilkan masih berkisar sekitar hal muzik, beliau juga menyelitkan pandangan peribadi mengenai isu semasa.

Dan tentu saja hal-hal politik kelam-kabut di negara kita ini.

Semasa sedang sangat bersemangat, Meor boleh dilihat dalam banyak perhimpunan rakyat. Ini adalah masa rakyat biasa yang tidak condong memihak kepada mana-mana politikus keluar ke jalan setelah bosan dengan pelbagai perkara dungu menguasai negara.

Kami sendiri - bersama Meor dan Nik Jidan serta beberapa orang sahabat - pernah memandu jauh ke kawasan pedalaman di Perak sana untuk menyertai sebuah acara himpunan rakyat.

Seperti yang diketahui umum, politikus dari pihak mana pun tidak akan teragak-agak untuk menyelit dalam agenda popular. Mereka juga akan menjadikan individu atau acara disukai orang sebagai batu loncatan demi mencapai nirvana politik masing-masing.

Individu dan acara popular itu akan segera mereka lupakan setelah selesai sesuatu pemilihan sebelum dicari semula apabila datangnya musim pemilihan lagi.

Meor menyedari hal itu. Justeru beliau menumpukan seluruh perhatian untuk membesarkan empat orang anaknya.

Adam ialah seorang daripada anak lelaki beliau. Anak itu seorang autistik, manakala tiga lagi masih dalam usia awal remaja. Isteri beliau surirumah sepenuh masa.

Jika kamu rajin membaca tulisan Meor, kamu akan dapati bahawa beliau akan berulang-ulang menceritakan pengalaman semasa mula-mula masuk ke dunia busking.

Betapa waktu itu masyarakat agak skeptikal pada orang yang menyanyi di kawasan awam dan jalanan. Ia ditambah dengan penampilan Meor yang sentiasa 'selekeh' telah mengundang pandangan negatif.

Ia bukan saja datang daripada orang ramai, malah Meor pernah dilokap oleh pihak berkuasa kerana disangka penagih dadah.

Sebagai seorang rakan yang mengenali beliau kami menjadi saksi bahawa Meor tidak pernah walau sekali pun terjebak dengan dadah. Sebagai seorang sahabat, kami ini sudah lama tidak setuju dengan cara penampilan diri beliau.

Tak smart langsung!

Tapi tidak ada apa yang boleh kami katakan kerana beliau sudah sangat selesa dengan kehidupan. Dalam sibuk masyarakat memandang penampilan, ke mana-mana pun beliau selesa dengan selipar jepun dan kemeja besar.

Semoga kembali pulih

Pun begitu, Meor seorang sahabat yang baik. Tanyalah sesiapa pun, pasti semua orang bersetuju bahawa beliau akan bercerita hal yang damai tentang semua orang.

Tidak ada sifat busuk yang menghalang beliau daripada menjadi teman yang disenangi.

Hari ini beliau masih belum sedar. Dan pagi tadi kami diberitahu bahawa keadaan beliau agak pulih. 

Pun begitu, tanpa keluar bermain muzik dan bernyanyi, keluaga beliau tentu saja akan mengalami sedikit kesukaran dalam menjalani kehidup seharian, baik dari sudut kesihatan mental dan juga desakan ekonomi.

Sahabat-sahabat yang membaca tulisan ini diharapkan dapat membantu dalam semua hal. Kita semua kenal baik akan si Meor ini. Beliau sedang dalam sedikit kesusahan.

Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk memberi sedikit kelegaan kepada beliau dan keluarga.

Kami diberitahu bahawa seorang lagi sahabat telah meminta menulis sebuah artikel mengenai Meor melalui Facebook.

Sejurus mendapat berita mengenai Meor, memang kami mahu berbuat demikian. Namun setelah beberapa kami mencuba untuk mula, kami tidak berjaya menyiapan sebarang tulisan kecuali yang ini.

Banyak yang ingin kami tulis mengenai Meor namun cukuplah setakat ini untuk kali ini. Bersama kita berdoa agar Meor diberikan kesihatan dan kembali pulih seperti sediakala.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan kolumnis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS