Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rashidi: Dah dapat 2 dos vaksin pun sakit tahap 'gaban'
Diterbitkan:  Dec 8, 2021 2:53 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Selepas dua hari menjalani kuarantin kendiri di rumah, pelakon Rashidi Ishak mengesahkan dia kini positif Covid-19.

Berkongsi gejala dialami, Rashidi menggambarkan bahawa dirinya yang sudah menerima vaksinasi lengkap masih bergelut menahan derita akibat wabak itu dan membayangkan bagaimana keadaan orang yang tidak atau belum mendapat suntikan.

“Dua hari sudah aku tiba-tiba demam teruk dan badan sakit-sakit, aku beritahu pihak produksi. Mereka uruskan doktor datang ke rumah untuk buat ujian calitan.

"Kali ni sahih aku positif Covid-19. Doktor tu cakap jangan panik, ambil ubat dan monitor (pandau) sendiri keadaan. Dia akan lapor pada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sumpah tak seronok sakit ni. Aku yang dah dua dos vaksin pun masih sakit tahap gaban,” katanya di media sosial.

Rashidi, 48, turut memohon maaf kerana secara tidak sengaja menambah bilangan kes harian wabak itu.

“Aku minta maaf, menyumbang kepada statistik Covid-19. Kamu semua jaga diri, patuhi prosedur operasi standard,” katanya.

Berkongsi lanjut apa yang dialaminya itu, pelakon Kerana Korona itu berkata, dia mendapat jangkitan dari set penggambaran yang kini sudah dihentikan aktivitinya.

“Bermulalah cuti inap (staycation) 10 hari yang tak dirancang.

“Aku dah buat ujian apabila pihak produksi berhenti penggambaran kerana ada kes di set. Masa tu negatif (lagi),” katanya.

Tambah Rashidi, dia terpaksa menggagahkan diri untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk prosedur lanjut walaupun keadaannya ketika itu masih lemah.

“Petangnya, pegawai kesihatan hubungi dan tanya soalan-soalan lazim kepada pesakit Covid-19.

“Aku pun jawab dengan tenang. Dia minta aku pergi ke CAC terdekat. Dia hantar kat aku semua pautan berkenaan Covid-19. Aku pun daftar secara dalam talian.

“Jadi pagi tadi (semalam) aku pun pergi lah CAC Nilai dengan keadaan aku yang sakit-sakit satu badan, kepala berdenyut-denyut,” katanya.

Rashidi sempat menitipkan pesan buat orang ramai agar sentiasa menjalani ujian pengesanan Covid-19 terutama mereka yang mempunyai simptom tertentu.

“Terima kasih keluarga dan kawan-kawan yang telefon, yang mesej atau yang buat panggilan video, jika tak jawab tu maksudnya aku tengah tidur dan mabuk ubat.

“Kalau anda ada simptom, pergi buat ujian. Jaga diri dan semoga selamat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS