Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kisah 'cinta sejenis': Jakim minta bertenang, biar pihak berkuasa siasat
Diterbitkan:  Dec 8, 2021 10:34 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta orang ramai bertenang ekoran timbulnya isu suatu siri yang didakwa memaparkan hubungan cinta sejenis baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam Jakim berkata isu tersebut sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan memohon agensi terbabit membuat pertimbangan bagi menjalankan siasatan.

Menurut Jakim mereka memandang serius isu seperti itu serta isu lain yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Keluarga Malaysia khususnya umat Islam.

Pada masa sama, katanya, Jakim amat berharap kepada semua pihak agar sensitif dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini dengan tidak bertindak di luar nilai ketimuran.

"Jakim juga menasihatkan agar masyarakat di luar sana dapat bertenang dan menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut," katanya.

Baru-baru ini banyak diperkatakan mengenai sebuah karya yang ditayangkan secara dalam talian, didakwa mengisahkan hidup dua pemuda yang menjalin hubungan romantik.

Ia mencetuskan rasa tidak senang dan bimbang pelbagai pihak.

Bagaimanapun media yang memetik kenyataan salah seorang pelakon siri itu mendakwa, dia hanya membawakan watak tersebut namun pada hakikatnya dia tetap lelaki sejati. 

Menurut Jakim sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad, memaklumkan Jakim akan merujuk isu berkenaan kepada SKMM.

"Sehubungan itu pada 7 Dis Jakim telah merujuk perkara ini kepada SKMM bagi memohon pihak berautoriti berkenaan mempertimbangkan agar siasatan lanjut dapat dijalankan mengikut lunas undang-undang sedia ada," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS