Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
MAEF menjadi khabar baik dari Balai Seni Negara

Hari Raya Seniman. Pertama kali kami mendengar istilah ini digunakan ialah semasa kami berada di Jogjakarta. Di sana acara besar seni catan yang dipanggil sebagai ArtJog disambut seumpama hari raya oleh para karyawan.

Justeru memang selayaknya acara tersebut digelar sedemikian rupa kerana ianya disambut dengan sangat meriah.

Berbulan-bulan sebelum acara tersebut diadakan, para seniman akan sibuk menyiapkan karya masing-masing. Bukan saja yang terlibat dalam acara tersebut yang akan berkerja keras, seniman yang tidak terlibat juga akan mempersiapkan apa yang patut.

Mereka mengharapkan pelawat yang datang ke kota seni tersebut sempena ArtJog akan juga singgah di studio masing-masing sepanjang sebulan acara berkenaan berlangsung.

ArtJog pertama kali diadakan pada 2008 sebagai acara sampingan kepada Festival Kesenian Jogjakarta. Kini ia adalah satu acara besar dan telah berdiri dengan sendiri.

Mengambil kemeriahan 'Hari Raya Seniman' di Jogja, Balai Seni Negara dalam usaha untuk melestarikan ekosistem seni catan negara yang teruk digodam virus Covid-19 telah mengadakan temasya Malaysia Art Ecosystem Festival (MAEF).

Menurut kurator di Balai Seni Negara, Mohd Zuriyadi Sarpin, acara itu dirancang sejak 2019 lagi tetapi setelah dua kali tergendala MAEF akhirnya berjaya diadakan dari 3 hingga 5 Dis lalu.

Ia mengumpul ramai pengiat seni catan. Sebanyak 83 ruang pameran yang dimeriahkan oleh galeri-galeri ternama, pelukis, pelajar universiti, syarikat penerbitan dan juga wakil kedai bingkai gambar mengambil bahagian.

Pada masa akan datang lebih ramai pengiat seni catan akan dijemput kerana menurut Mohd Zuriyadi memang menjadi hasrat Balai Seni Negara untuk menjadikan MAEF sebagai satu acara tahunan.

Rata-rata mereka yang terlibat dalam temasya itu bersetuju bahawa ia adalah suatu perancangan yang baik.

Jadi tanggungjawab Balai Seni

Kenny Teng dari Galeri G13 memuji Balai Seni Negara yang berusaha mempergiatkan lagi kemeriahan dunia seni negara setelah hampir dua tahun mengalami kemurungan.

Dia juga berharap agar beberapa kelemahan dalam persembahan pertama Balai Seni Negara mengelolakan pesta seni sebegitu dapat diatasi dalam siri-siri mendatang.

Kenny yang sudah beberapa kali mengikuti acara seperti itu sama ada di dalam atau di luar negara juga bersedia untuk berkongsi pengalamannya jika diperlukan.

Pengerusi Persatuan Seni Rupa Malaysia (Perupa) A Zaki Hadri juga bersetuju bahawa MAEF merupakan usaha yang baik dan pada masa yang sama berharap persatuan seni catan juga dijemput menyertai acara tersebut pada masa depan.

Hal itu kerana, kata A Zakir, persatuan juga adalah sebahagian daripada ekosistem seni catan negara.

Dia juga berharap acara-acara pingiran diwujudkan sebelum kemucaknya diraikan semasa MAEF. Misalnya, kata A Zaki, acara studio terbuka oleh para artis yang berkenaan.

Menjawab pertanyaan mengapa kurangnya pemain yang serius dalam industri seni catan datang melawat MAEF, Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad  berkata memang menjadi tanggungjawab pihaknya menyediakan platform bagi mempertemukan  mereka yang aktif dalam dunia seni catan untuk lebih saling kenal.

Harapan buat penggiat seni

Melalui MAEF Balai Seni Negara membawa seramai mungkin pengerak seni berkampung selama tiga hari di bawah satu bumbung. Menjadi tanggungjawab mereka yang mengambil bahagian untuk menghebahkan penglibatan mereka kepada para kolektor untuk datang memberi sokongan.

Menurut Amerrudin, Balai Seni Negara bukan organisasi yang berlandaskan keuntungan, justeru segala apa yang mereka usahakan adalah atas kepentingan negara.

Bagaimanapun dia bersetuju dengan cadangan untuk mengatur satu malam khas untuk meraikan tetamu terhormat yang banyak memberi sumbangan kepada dunia seni catan negara pada acara-acara akan datang.

Untuk rekod, semua perserta tidak dikenakan sebarang sewaan malah mereka diberikan RM3,000 untuk setiap gerai sebagai insentif daripada Balai Seni Negara.

Selama ini festival seni catan banyak diadakan oleh pihak swasta. Tentu saja ianya berorentasikan keuntungan. Kerana itu hanya beberapa karyawan yang terpilih dapat menyertai acara berkenaan.

Dengan penglibatan Balai Seni Negara sendiri sebagai tunggak utama tentu saja ia memberikan sedikit harapan kepada karyawan seni.

Jika dulu para seniman hanya menjilat jari melihat program yang dikhaskan kepada pengeluar kraf melalui Pesta Kraf Kebangsaan atau Hari Petani, Peladang dan Penternak, kini karyawan seni catan juga ada satu hari yang dikhaskan untuk mereka.

Diharapkan MAEF yang akan diadakan pada masa hadapan lebih meriah dengan penglibatan lebih ramai peserta. Hebahannya juga diharapkan lebih meluas. 

Ditambah dengan cakap-cakap teh tarik yang kami dengar bahawa adanya perbincangan tidak rasmi antara pihak ArtExpo dan ArtEDecor dengan pihak Balai Seni Negara untuk menjayakan satu festival seni terbesar.

Dan tentu saja dengan nama yang lebih komersial dari MAEF yang kedengaran agak asing itu.

Tahniah Balai Seni Negara atas usaha yang bagus itu. Selamat Hari Raya Seniman kepada semua karyawan seni Malaya. Mungkin ini yang digelar sebagai cahaya di hujung terowong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS