Penyanyi dan pelakon Dr Soo Wincci menegaskan pegangan agama seseorang bukan penghalang untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.
Malah, Wincci dalam satu kenyataan berkata gelaran 'ratu cantik Miss World' yang disandangnya juga bukan alasan untuk dia tidak melakukan kebajikan sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama.
Wincci berkata dia juga sangat berbesar hati apabila dilantik menjadi Ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM).
“Walaupun saya bukan beragama Islam, tetapi saya rasa bertanggungjawab untuk melakukan kerja kebajikan. Saya sangat berbesar hati kerana dilantik menjadi salah seorang Ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
“Memang ada yang bertanya kepada saya, kenapa seorang yang telah bergelar ‘Miss World’ mahu menyertai IRM dan melakukan kerja-kerja kebajikan, jawapan saya mudah.
"Tuhan sudah memberi pengalaman yang perit kepada saya dan saya dapat belajar macam-macam daripada ujian itu. Pengalaman itu juga telah mendorong saya untuk terlibat dalam kerja kebajikan dan bersama IRM," katanya yang memenangi pertandingan Miss World Malaysia 2008.
Mengulas lanjut, Wincci juga berkata dia kini mula sedar bahawa selebriti bukan hanya hidup dalam dunia glamor sahaja, sebaliknya perlu melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat.
Menurut Wincci, meskipun kini dia berada jauh di Sepanyol untuk melanjutkan pengajiannya, namun tetap berusaha meluangkan masa hadir sesi perkongsian yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus cakna dan prihatin akan isu kemanusiaan dan kesukarelawanan.
"Walau dimana pun kita berada, kerja kesukarelawanan tetap boleh dilakukan, dan sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersatu padu tanpa mengira sebarang bentuk perbezaan kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," katanya.
Sementara itu, mengulas konflik kemanusiaan yang melanda masyarakat global ketika ini, Wincci berkata, setiap agama pastinya menggalakkan manusia berbuat kebaikan dan berkasih sayang.
Katanya, dia juga percaya bahawa peperangan dan keganasan bukan jalan penyelesaian tepat bagi sesuatu masalah.
"Tuhan mahukan kita semua hidup secara aman damai tanpa pergaduhan, diskriminasi dan sebagainya.
“Dalam usaha untuk memastikan tiada lagi golongan yang tertindas atau terpinggir, kita perlu sama-sama membantu tanpa mengira kaum, agama atau apa sahaja bentuk perbezaan.
"Kita boleh menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Berkongsi mesej positif juga dikira sebagai tanda sokongan kita dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan,” kata Wincci.
Krisis kemanusiaan musim sejuk Afghanistan
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 12 juta penduduk Afghanistan dilaporkan berdepan ancaman kelaparan pada tahap kritikal manakala 3.5 juta lagi menghampiri risiko kebuluran.
Ramai penduduk Afghanistan kini semakin tertekan dengan situasi semasa di mana bekalan makanan kian berkurangan sedangkan harga makanan melambung tinggi dan kadar pengangguran meningkat.
Dilaporkan, keadaan di kawasan luar bandar lebih buruk ekoran berlaku peningkatan angka kematian dan kes kekurangan zat.
Rakyat Afghanistan kini terpaksa menghabiskan wang simpanan yang ada untuk membeli makanan selain berhutang dan mengemis di jalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Sebelum ini, sebahagian besar rakyat Afghanistan yang sememangnya sudah menderita kelaparan dan kemiskinan akibat kemarau terus diuji dengan pergolakan dan pandemik Covid-19.
Malah, tahun ini dijangkakan, separuh daripada populasi kanak-kanak berumur bawah lima tahun berisiko diancam penyakit kekurangan zat makanan.
Justeru itu, Wincci menyeru semua pihak bersama-sama menghulurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan.
“Saya percaya, dalam apa jua agama dan kepercayaan yang kita pegang, semuanya menggalakkan kita untuk melakukan kebaikan kepada semua orang tanpa sebarang diskriminasi.
"Justeru, saya menyeru anda semua untuk sama-sama kita membantu rakyat Afghanistan mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing.
“Untuk makluman, Islamic Relief Malaysia kini sedang giat menjalankan kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu 272 keluarga terjejas di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat, Afghanistan serta 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Idlib dan Aleppo, Syria,” kata Wincci.
Kempen Rayuan Musim Sejuk yang dijalankan Islamic Relief Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bermula 3 November hingga 31 Disember ini.
Antara bantuan yang akan diberikan ialah bekalan pirina, sejenis bahan bakar diperbuat daripada buah Zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam.
Terdapat dua pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk ini iaitu ‘Stay Warm With Love’ dengan nilai RM150 untuk Syria dan ‘Stay Safe With Love’ bernilai RM250 untuk Afghanistan.
Bagaimanapun, Islamic Relief Malaysia turut mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing.