Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Beritahu salah, tak beritahu pun salah'
Diterbitkan:  Dec 6, 2021 11:27 AM
Dikemaskini: 7:55 AM

“Beritahu salah, tak beritahu pun salah,” luahan Nora Ariffin yang kecewa ekoran tularnya dakwaan tidak enak membabitkan status perkahwinan penyanyi itu baru-baru ini.

Kata penyanyi itu, dia mengambil keputusan untuk menghebahkan berita perkahwinannya dengan tujuan mengelak fitnah, tetapi kini lain pula hal yang berlaku.

“Berkahwin itu perkara baik, dapat pahala, wajar dihebahkan, kerana itulah saya mengambil keputusan untuk beritahu pada semua orang bagi mengelakkan fitnah.

“Niat saya betul-betul kerana Allah. Tapi lain pula jadinya,” katanya di Instagram malam tadi.

Sebagai seorang selebriti, jelas Nora, dia berhak untuk tidak berkongsi atau menjelaskan setiap perincian kehidupan peribadinya jika berasa tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Itu hak peribadi saya,” katanya.

Terdahulu, melalui sebuah portal, penyanyi Tulus itu didakwa menyembunyikan tarikh sebenar pernikahannya dengan seorang pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, Rushdi Ramli, yang difahamkan sudah berlaku hampir dua tahun lalu. 

Nora dan Rushdi menguar-uarkan perkahwinan mereka melalui Instagram tiga hari lalu. 

Mungkin perlu bantuan

Terdapat juga dakwaan yang mengatakan Nora meminta suaminya itu menceraikan isteri pertama.

Namun, Nora melalui kiriman WhatsApp kepada media berkata, segala tohmahan yang tular di media sosial adalah tidak benar dan fitnah.

Tambahnya, sesebuah perkahwinan tidak boleh dipaksa-paksa, begitu juga dengan perceraian.

“Tidak ada seorang manusia pun yang berhak untuk memaksa orang lain bercerai tanpa sebab. Itu dosa besar,” katanya.

Penyanyi yang juga terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu berkahwin dengan Allahyarham Johan Nawawi pada 1992. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Johan yang merupakan komposer terkenal meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Hairan dengan tindakan individu yang melemparkan fitnah, Nora menggesa agar pihak yang tidak berpuas hati tampil bersemuka dengannya.

Nora secara sinis turut berkata, dia mungkin boleh membantu individu terbabit sekiranya dia seorang yang memerlukan bantuan.

“Saya menyeru pada individu yang sengaja ingin memburukkan kami, tolong tampil bersemuka. Mungkin individu ini ada masalah, kita sama-sama bantu.

“Saya ingin tahu apa tujuan sebenarnya menyebarkan fitnah, tuduhan yang tak tepat dan tak berasas ni.

“Lagipun ini adalah hal kehidupan saya. Kenapa gunakan media sosial dan akaun palsu untuk sebarkan fitnah? Alangkah baik sekiranya terus hubungi saya melalui Direct Message saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS