btsPenyebaran budaya ke negara luar sering dikaitkan dengan penguasaan dan penjajahan sesebuah negara ke atas negara yang lain. Tamadun menghabiskan masa, wang dan keringat mereka untuk memperkasakan ketenteraan, menyertai pelayaran, peperangan sejak zaman berzaman hanya untuk melebarkan empayar bagi tujuan memperkaya negara ibunda mereka dengan keperluan dan sumber ekonomi. Seiring dengan kekayaan yang dibawa pulang, mereka menyebarkan budaya mereka di negara-negara yang mereka jajahi.
Penyebaran budaya adalah salah satu daripada elemen softpower diplomacy. Adalah menjadi suatu kebanggaan pada sesebuah tamadun apabila budaya mereka dapat diamalkan dan diterima oleh satu tamadun yang lain. Perkara yang sama juga apabila kita melihat orang luar yang fasih berbahasa Melayu. Kita dapat merasakan kehangatan dan keakraban seseorang yang mahir bertutur dalam bahasa kita dan apabila mereka mengenakan pakaian kebangsaan kita. Ia lumrah manusia.
Jika puluhan tahun dahulu kita menggunakan kereta kebal, bom, kapal perang dan sebagainya hanya untuk berkesan menjadi sebahagian dari usaha menyebarkan budaya, kini ia tidak lagi. Penyebaran budaya pada hari ini tidak perlu melalui jalan kekerasan dan kematian. Ia tidak perlu memaksa dan dipaksa.
Cultural Diplomacy atau diplomasi budaya yang digunakan oleh negara-negara pada hari ini digerakkan melalui filem, bahasa, pakaian, seni tari dan lagu. Sebagai contoh, industri hiburan Korea Selatan, K-pop. Siapa yang tidak tahu K-pop?
K-pop merupakan salah satu industri hiburan yang mempunyai pengaruh yang luas di samping industri hiburan yang setanding dengannya seperti Hollywood atau Bollywood. Ia merupakan salah satu daripada grand design yang diteliti dan dibangunkan dengan begitu cermat oleh kerajaan Korea Selatan sejak puluhan tahun lalu. Hasil pada hari ini dituai dengan jayanya; K-pop telah menjadi sebahagian daripada kuasa kebudayaan dunia. Ia menjadi ikutan anak muda malah golongan berumur.
Kemuncak K-pop di persada diplomasi antarabangsa terhasil apabila kemunculan kumpulan penyanyi popular BTS di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun ini. BTS merupakan salah satu dari ratusan artis Korea Selatan yang telah mencipta nama di serata dunia.
Apa yang menarik ialah Presiden Korea Selatan sendiri, Moon Jae-In mengakui bahawa BTS menjadi antara topik perbualan utama apabila beliau bertemu dengan pemimpin-pemimpin antarabangsa. BTS juga telah memberi pulangan pelaburan yang berlipat kali ganda kepada ekonomi Korea Selatan, di samping industri hiburan mereka yang sudah pun memeta dunia. Ternyata diplomasi hari ini tidak lagi terhad kepada ruang lingkup lelaki dan wanita berkemeja dengan briefcase di tangan. Seorang rakyat Korea Selatan apabila bercakap mengenai BTS berkata: “They have done more work than hundreds of diplomats combined”.
Usaha Wisma Putra untuk meneroka diplomasi kebudayaan ini merupakan satu langkah gergasi yang berpotensi besar menjadi salah satu daripada grand design yang boleh dilihat dalam sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya, Malaysia sarat dengan bakat yang tidak ‘dieksport’ ke luar. Ini amat merugikan kita sedangkan bakat-bakat ini merupakan ‘vehicle’ untuk perluasan budaya kita menjadi kenyataan.
Wisma Putra boleh memainkan peranan sebagai teraju utama dalam mengeksport bakat-bakat ini ke luar negara dalam usaha kita mengembangkan lagi budaya Malaysia ke luar negara. Menerusi usaha sama yang dilakukan oleh pelbagai pihak berkepentingan, Malaysia boleh memimpin diplomasi budaya Asia Tenggara ke pentas antarabangsa. Malaysia akan menjadi kebanggaan Nusantara.
MOHAMAD SIDDIQ AZANI adalah setiausaha agung Pertubuhan Gerakan Revolusi Anak Malaysia merangkap pengerusi biro undang-undang Pemuda Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.