Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Minta buang ego, Zul Ariffin sedia bimbing pelakon baru

Biarpun menyedari tiada imbuhan diberikan, Zul Ariffin menyatakan dia terbuka untuk memberi tunjuk ajar kepada mana-mana pelakon baru terutama buat gandingannya dalam sesebuah drama atau filem.

Malah kata aktor itu, dia sudah terbiasa melaksanakan tanggungjawab berkenaan selama bertahun-tahun tanpa paksaan penerbit mahupun pengarah, asalkan naskhah yang dilakonkannya berjaya ‘membeli’ jiwa penonton.

“Saya tak kisah untuk bantu dan ajar pendatang baru dalam industri. Saya dah lakukan (beri tunjuk ajar) hal tu selama bertahun-tahun.

“Pengalaman tengok orang baru di set ada yang darah gemuruh, atau sampai tangan menggeletar tu perkara biasa buat saya. Jadi, saya akan cuba berikan kerjasama yang terbaik.

“Tapi pelakon berkenaan mestilah seseorang yang laparkan ilmu, letakkan dedikasi serta buang ego mereka untuk belajar,” katanya.

Bagi pelakon Sangkar itu, peminat meletakkan harapan tinggi atas keberkesanan lakonan dan dengan siapa dia digandingkan.

“Mereka percayakan lakonan saya setiap kali keluar di kaca televisyen mahupun layar perak.

“Sudah menjadi tanggungjawab hero untuk membimbing heroin jika dia seorang yang lebih berpengalaman dalam bidangnya.

Zul Ariffin dalam Penunggang Agama 2

“Sebagai pelakon, juga jadi tanggungjawab kami untuk tingkatkan rating. Jika penonton lihat lakonan kami tak serasi, mungkin orang akan salahkan saya,” katanya lagi.

Zul berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan The Curve, Mutiara Damansara di Petaling Jaya, semalam.

Pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu juga tidak menafikan bahawa dia pernah berdepan sedikit kekecewaan apabila gandingannya menyambut secara sambil lewa usaha dan tunjuk ajar yang disampaikan.

“Kecewa tu pernah ada. Tapi saya tak akan selama-lamanya berada dalam industri. Jadi cuba kolaborasi bersama dengan baik, atau andalah yang rugi,” katanya.

Macam angkat kerusi

Sementara itu, ditanya mengenai keterbatasan lakonannya selepas memilih untuk mendalami agama bersama pendakwah bebas, Ebit Lew sebelum ini, aktor berusia 35 tahun itu memilih pendekatan tersendiri.

Katanya, dia akan berusaha untuk memperbaiki tutur katanya terlebih dulu dalam usaha menjadi insan lebih baik pada masa akan datang.

“Ramai sudah tanya soalan ini dan apa yang boleh saya katakan, saya akan cuba jaga lisan dulu. Perubahan mungkin akan berlaku secara perlahan-lahan kemudian.

“Bila berlakon, bukan saya yang minta untuk dukung heroin saya. Tapi saya hanya ikut jalan cerita yang ditetapkan penulis skrip dan pengarah saja.

“Sebenarnya, kalau dukung pun, saya tak rasa apa-apa. Bukan menyeronokkan pun. Terasa seperti mendukung kerusi saja,” katanya.

Sebelum ini, Zul pernah dikaitkan dengan kontroversi mendukung heroin sewaktu menjayakan sebuah drama lakonannya hingga mencetuskan kontroversi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS