Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Mangsa ciplak’ akan tampil, tembelang pecah Jumaat ini?
Diterbitkan:  Dec 1, 2021 6:35 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

Penulis Indonesia yang dikatakan menjadi mangsa ciplak kepada penulis Malaysia akan tampil mengulas isu itu dalam forum secara langsung di media sosial, Jumaat ini.

Setia Naka Andrian akan terlibat dalam forum anjuran Nusa Centre bertajuk “Plagiat itu Pencuri” pada jam sembilan malam di Facebook pusat kajian budaya dan sains itu.

Dia akan bergandingan dengan dua penulis terkenal Malaysia iaitu Lutfi Ishak dan Za’im Yusof.

“Nusa Centre mengundang dua orang yang karyanya diciplak,” kata Pengarah Nusa Centre SM Zakir.

“Pertama, Setia Naka Andrian, seorang dari penulis dari Indonesia yang (menulis) sajak itu, membuka tembelang penciplak itu.

“Dan bila sajak itu dikesan, barulah terbuka (tembelang) yang lain semua”

Selain Setia Naka, Lutfi juga dikatakan menjadi mangsa ciplak melibatkan artikelnya.

Seorang penulis yang dikatakan penerima anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didakwa menciplak sajak yang kemudian disiarkan di beberapa medium termasuk majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Perkara itu didedahkan melalui notis di Facebook menyatakan permohonan maaf editor Dewan Sastera.

Sajak berjudul Mahukah Engkau Lelap Sekejap di Halaman Yang Tiada Pohon Rendang itu disiarkan Dewan Sastera untuk edisi Disember 2021 secara dalam talian.

Karya tersebut didakwa memplagiat sajak Setia Naka dalam kumpulan puisinya Orang-orang Kalang yang diterbitkan di Indonesia pada 2017.

Tindakan itu dikecam aktivis dan penulis Malaysia dan Indonesia yang dinyatakan melalui kenyataan media bersama dan bantahan di media sosial.

Penulis itu setakat ini masih membisu. Malaysiakini sudah beberapa kali menghubunginya sejak timbul kontroversi itu.

DBP pula pada 18 Disember berkata sedang menyiasat perkata itu. Sehingga kini belum jelas sama ada siasatan telah selesai atau tidak.

DBP tidak memberikan maklum balas berkaitan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Zakir yang juga cerpenis terkenal berkata mereka dijangka membincangkan sama ada benar penciplak sudah memohon maaf, seperti didakwa.

“Jadi, itu yang kita bawa Setia Naka Andrian untuk memberikan letak duduk sebenarlah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS