Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Isma Halil mohon maaf, luah perasaan dari Sg Buloh
Diterbitkan:  Dec 1, 2021 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Penyampai dan pengasas radio dalam talian Bapakku FM, Isma Halil Hamzah, bersumpah bahawa tuduhan yang mengaitkan dia dengan kesalahan memiliki dadah jenis ganja adalah tidak benar.

Isma turut memohon maaf selain meminta peminat terus menyokong dan bersabar ekoran ‘kehilangannya’ di udara.

“Terima kasih kepada semua sahabat yang saya ada. Dan saya sihat seadanya di Sungai Buloh ni.

“Demi Allah, saya tidak seperti berita negatif yang difinah dilemparkan kepada saya.

“Maafkan saya sebab tidak ke udara lagi. Sabarlah semua sahabat. Berpisah adalah untuk bertemu lagi.

“Terima kasih kerana terus menyokong saya,” katanya.

Isma berkata demikian dalam satu nota ringkas yang diberikan kepada peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain semasa mereka bertemu kelmarin.

Isma kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Pada Sept lalu, tular berita mengenai seorang penyampai radio yang ditahan pihak polis selepas didapati memiliki ganja.

Menurut laporan pihak polis, suspek ditahan di kediamannya di ibu kota kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 447.44 gram yang telah diasing-asingkan kepada 22 paket plastik.

Ahmad Zaharil menjelaskan, Isma pada saat ini baru dituduh namun dia belum lagi dibicarakan mahupun disabitkan atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Berikutan itu, saya mohon semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi selepas ini.

“Untuk makluman semua, sebutan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di Jalan Duta ditetapkan pada 15 Dis ini untuk menunggu laporan jabatan kimia.

“Jika laporan tersebut sudah siap, maka kes akan dipindahkan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan (kerana kes ini hanya boleh dibicarakan di mahkamah tinggi saja),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS