Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ziela Jalil sasar aktif terbit drama, filem lepas 2 tahun diuji
Diterbitkan:  Dec 1, 2021 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

"Hanya Tuhan yang tahu," luah Ziela Jalil berhubung pelbagai masalah dalaman yang didepaninya ekoran tidak dapat bekerja selama hampir dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.

Kata pelakon yang kini bergelar penerbit itu, dia mahu terus bangkit dan kembali aktif menghasilkan drama melalui syarikat produksinya, Pena Creative Pictures Sdn Bhd (Pena Creative).

“Dua tahun saya tak bekerja akibat pandemik, susulan tu banyak masalah timbul. Hanya Allah SWT saja tahu. Masalah dialami tu saya kena selesaikan satu persatu dulu.

“Namun sesukar mana pun isunya, saya terpaksa hadapi dengan tabah. Bila selesai semuanya, insya-Allah, saya akan bangkit semula,” katanya.

Walaupun tidak mendedahkan hal itu secara terperinci, Ziela yang pernah menerbitkan drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu ada memberi bayangan dia perlu berusaha menyelesaikan masalah kewangan di sambil beberapa isu lain.

Ziela atau nama sebenarnya Norzilah Abdul Jalil, 51, berkata ujian yang datang itu sedikit sebanyak mendidik dirinya agar menjadi lebih cekal berbanding sebelum ini.

“Doakan agar Pena Creative dapat bangkit semula dan dapat terbitkan drama berkualiti macam dulu,” katanya.

Ziela berkongsi perkara itu sewaktu sesi IG Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Topik diketengahkan bertajuk How To Make A Drama Go Viral.

Sesi dikendalikan dua wartawan Harian Metro iaitu Sudirman Mohd Tahir dan Padin Razal itu diadakan bersempena penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Dis ini.

Ketika ditanya mengenai perancangannya, Ziela berkata, dia bakal menerbitkan naskhah baru yang menampilkan Fathia Latif selaku teraju utama.

Biarpun Fathia pernah terpalit dengan pelbagai kontroversi, Ziela berpendapat, aktres itu wajar diberikan peluang untuk kembali bernafas dalam industri seni kerana melihat pelakon terbabit memiliki bakat dan kualiti tersendiri.

“Fathia seorang pelakon yang sangat berbakat dan pernah berjasa dengan memberi rating tinggi kepada stesen televisyen. Saya sayangkan dia.

"Bagi saya, dia baik dan sangat menghormati orang lain. Setiap daripada kita akan menghadapi ujian.

“Dalam karya terbitan saya akan datang, saya akan pastikan Fathia membintangi naskhah yang bagus,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS