mk-logo
Seni & Hiburan
Bahasa Melayu gagal diperkasa kerana 'dosa' elit politik
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 10:34 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Tanpa kejujuran elit politik, termasuk perdana menteri atau anggota kabinet, selama-lamanya bahasa kebangsaan akan dilihat sebagai bahasa kelas kedua di bumi sendiri, kata Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung.

Menurut Lee, hal itu berlaku bukan disebabkan salah orang Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum sebaliknya ‘dosa’ penguasa elit politik yang tidak jujur memperjuangkan bahasa Melayu.

Mereka, katanya, enggan menjadikan bahasa Melayu sebagai keutamaan perjuangan, sebaliknya menjadikan ia untuk kepentingan membakar sentimen perkauman.

“Seruan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membanyakkan penggunaan bahasa Melayu sendiri menunjukkan kegagalan kerajaan mendaulatkan ia sebagai bahasa korporat dan bahasa industri terutama selepas negara ini dikuasai lebih 60 tahun oleh kelompok elit yang sama iaitu Umno/BN.

“Kerajaan Keluarga Malaysia adalah kesinambungan daripada kerajaan Umno/BN yang memerintah Malaysia sejak merdeka dan isu bahasa Melayu selalunya digunakan sebagai umpan politik untuk memainkan sentimen perkauman semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lee, isu mengenai kepentingan bahasa Melayu hanya ditimbulkan menjelang sesuatu pilihan raya untuk mengumpul sokongan pengundi.

Langkah itu katanya diambil pihak terbabit tanpa mempedulikan kesan negatif daripadanya iaitu menggalakkan prejudis antara kaum selain kesenjangan elit dan rakyat kebanyakan.

“Itu bukanlah roh atau semangat bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Jelas Lee, realiti menunjukkan PKR dan tokohnya seperti presiden parti itu, Anwar Ibrahim, adalah pihak yang paling konsisten dalam memperjuangkan bahasa Melayu di semua peringkat.

“Inilah perjuangan nasionalis sejati sejak sebelum tanah air merdeka lagi dan ia diwarisi dalam perjuangan Reformasi,” katanya.

Justeru, Lee tampil dengan cadangan untuk melaksanakan beberapa langkah bagi memantapkan bahasa Melayu seperti pemperkasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) khususnya Jabatan Pembinaan dan Pengembangan Bahasa dan Sastera supaya keindahan bahasa Melayu dapat dinikmati oleh khalayak orang ramai.

Justeru katanya karya-karya klasik antarabangsa harus diterjemah secara berterusan.

"Usaha-usaha seperti penterjemahan Mimpi Di Mahligai Merah oleh Yayasan Karyawan bersama Universiti Malaya harus terus diperkembangkan," katanya.

Selain itu Lee menyarankan agar penterjemahan buku ilmiah, industri atau komersil terkini kepada bahasa Melayu dipergiatkan.

Turut dicadangkan ialah agar kerajaan pemperbanyak program memupuk minat membaca di perpustakaan-perpustakaan di peringkat negara, negeri dan tempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS