Keterujaan untuk bertemu dan menghiburkan peminat dalam sebuah konsert diakui memberi satu cabaran besar buat Slam terutama selepas lima tahun kumpulan itu tidak muncul dengan persembahan berskala besar.
Justeru kumpulan itu berharap Konsert Slam Mentari Muncul Lagi pada 12 Feb tahun depan sebagai peluang yang ditunggu-tunggu sekian lama untuk menghadiahkan persembahan terbaik dan bertenaga kepada peminat.
Vokalis Slam, Zamani berkata, demi menggamit semula nostalgia peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka, dia seboleh-bolehnya mahu ‘menutup buku’ berhubung masalah tulang belakang yang dihidapinya selama ini.
“Jika boleh, saya nak tutup buku terus berhubung masalah kesihatan dan beri fokus sepenuhnya untuk menjayakan konsert.
“Saya tak mahu sebarang isu kesihatan boleh menyebabkan kekangan dan alasan untuk Slam memberikan persembahan yang terbaik pada malam tu nanti,” katanya.
Penyanyi Gerimis Mengundang itu tidak menafikan penderitaan tulang belakang melengkung atau penyakit skoliosis yang dihidapi mengganggu fizikal dan kemampuannya untuk menyanyi sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, dia yakin dapat bertahan apatah lagi selepas menjalani rawatan berterusan.
“Alhamdulillah, saya semakin sihat. Ada juga lakukan rawatan termasuk guna katil Ceragem. Saya harap bila dekat tarikh konsert nanti, kesihatan akan bertambah baik,” katanya.
Zamani berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.
Menyenaraikan katalog lagu hit mereka, venue pilihan kali ini, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merupakan penambahan sejarah buat Slam mahu pun peminat tegar mereka.
Konsert Slam Mentari Muncul itu akan bermula pada jam 8.30 malam.
Kali terakhir Slam mengadakan konsert berskala besar adalah pada 9 September 2016, di Pasir Gudang, Johor.
Tingkatkan stamina
Menurut Zamani atau nama penuhnya Zamani Ibrahim, 50, dia akan berusaha meningkatkan stamina sebagai persediaan mengharungi konsert yang dijangka berlangsung selama 2 jam itu
“Kena tingkatkan latihan kecergasan sebab konsert ni juga diharapkan sebagai permulaan untuk konsert-konsert mendatang,” katanya.
Selain Zamani, turut menganggotai kumpulan yang popular era 1990-an itu ialah, Shah, pemain gitar, Eddie (pemain keyboard), Man (dram) dan Lili (bass).
Sementara itu, Shah berkata, konsert kali ini akan memberikan kelainan dari segi susunan muzik yang lebih mantap selain diselaraskan dengan visual dan teknik pencahayan menggunakan teknologi moden.
“Biasa setiap kali persembahan Slam, kami akan ubah sedikit susunan muzik.
“Tapi kali ni mungkin tak banyak, namun pentas akan diserikan dengan pencahayaan yang terbaik. Rasanya, ni batu loncatan untuk Slam memberikan perkara baru buat peminat.
“Selain itu, kami juga akan besarkan lagi muzik dan bunyi dengan penambahan instrumen,” katanya.