Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Aishah akur dengan takdir yang sudah tertulis buatnya apabila dia diduga dengan pergolakan rumah tangga selepas lima tahun melayari bahtera perkahwinan.

Penyanyi itu juga mengakui sudah tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya sejak tiga bulan lalu.

“Ya, benar kami dah berpisah. Cuma belum lafaz talak. Dah tiga bulan kami tinggal berasingan,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Terdahulu, pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu memberi bayangan berhubung situasi yang berlaku melalui hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Pada 2017, Aishah memaklumkan dia kembali berumah tangga selepas enam tahun bercerai dengan suami ketiga, Faizal Sazali Zulkifli.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkahwinan keempatnya itu.

Penyanyi itu dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Armand Azhari, 28, melalui perkahwinan pertama manakala Azhad Ahlami, 23, hasil perkahwinan kedua.

Bagaimanapun, penyanyi Janji Manismu itu enggan berkongsi lebih lanjut apabila ditanya mengenai punca perpisahan mereka.

Malah, katanya, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan kini tekad untuk fokus dengan kerjayanya.

“Siapa yang tak nak perkahwinan mereka bertahan hingga ke akhir hayat. Namun, tak perlu saya nyatakan salah siapa.

“Biarpun bergelar seorang penyanyi, saya tak mahu kisah rumah tangga mengundang perhatian.

”Saya cuma mohon diberikan ruang untuk menyusun semula hidup ini.

"Tu saja, tak ada apa untuk dikomen lagi,” katanya yang bakal muncul dengan single baru Disember ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS