Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Populariti tidak dapat ‘membeli’ bakat, demikian luah Naim Daniel berhubung tawaran kerja terhadap pelakon yang dinilai berlandaskan jumlah pengikut di media sosial semata-mata.

Kata pelakon dan penyanyi itu, populariti pada seseorang anak seni bukanlah penentu bakat sebenar dan peluang sama rata patut diberikan kepada mereka yang berbakat tanpa pengikut ramai.

“Tak kiralah berapa ramai pengikut di media sosial, ia sama sekali tidak dapat membeli bakat.

“Populariti akan bergerak seiring dengan gerak kerja seseorang. Populariti adalah bonus namun ia juga ujian.

“Apabila dikatakan ujian, ia adalah bagaimana kita memberi sumbangan dan manfaat kepada masyarakat melalui karya yang dijayakan serta bakat yang dimiliki,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin itu, amalan penerbit mahupun stesen televisyen yang sudah lama berlarutan itu harus dihentikan agar mutu produksi industri tanah air dapat ditingkatkan.

“Hari ini, penonton dah dihidangkan dengan pelbagai pilihan karya, tak kira dalam mahupun luar negara.

“Jadi jika industri kita mahu bergerak seiring, kita harus mengutamakan kualiti dan bukannya populariti semata-mata,” katanya lagi.

Naim berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Siapa Tutup Lampu di TGV One Utama, Bandar Utama kelmarin.

Filem yang mendapat arahan oleh pengarah muda Aliff Ihsan Rahman itu turut dibintangi pelakon seperti Azizul Ammar, Uyaina Arshad, Ismi Melinda Azhar Jalil dan Afieq Shazwan.

Sementara itu, berkongsi mengenai lakonannya dalam Siapa Tutup Lampu, Naim berkata dia membawakan watak sebagai seorang kasanova bernama Akmal.

Diusik adakah dia mempunyai persamaan dengan wataknya sebagai Akmal, penyanyi lagu Sumpah itu bertegas menafikan hal berkenaan.

“Insya-Allah, apa yang dipotretkan dalam filem tu tak akan terbawa-bawa sampai ke luar set penggambaran. Bagi saya setiap lelaki harus melayan wanita dengan sebaik-baiknya.

“Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang majoritinya adalah perempuan. Justeru, memang saya tak nafikan ada terikut-ikut sifat ayah yang melayan wanita dengan sopan.

“Bagi segelintir orang, mungkin ada yang menilai saya sebagai sopan dan tak kurang juga ada yang akan beranggapan saya lelaki miang. Tapi apa yang pamerkan adalah sifat saya yang sebenar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS