Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aru Peruzza, Bunga Isme, Margasatwa meriahkan KL Urban Youth Festival
Diterbitkan:  Nov 23, 2021 3:23 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Selepas beberapa kelonggaran berperingkat prosedur operasi standard (SOP) kawalan Covid-19, banyak aktiviti penganjuran acara yang tertunda lebih dua tahun kini dapat dilaksanakan semula.

Tidak terkecuali, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan kian giat menjalankan pelbagai simulasi acara hiburan.

Apabila penganjuran acara secara langsung dapat diaktifkan berpandukan SOP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara, DBKL terus merangka pelbagai acara.

Terbaru, KL Urban Youth Festival 2021 yang bakal diadakan di Panggung Anniversari , Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur akan menampilkan barisan selebriti terkenal tanah air seperti Aru Peruzza, Bunga Isme, Kristal dan Margasatwa dalam persembahan selama dua malam berturut-turut.

Aru berkata, dia bersyukur kerana DBKL membuka ruang pentas untuk memeriahkan semula seni persembahan selepas sekian lama tidak membuat kemunculan depan khalayak.

“Saya menghargai peluang ni kerana kami dapat bersatu kembali bersama rakan artis lain dan sama-sama membuat persembahan yang dah lama ditunggu-tunggu.

“Sebelum ni aktiviti persembahan dilarang dan ini sebagai mengubati rindu kami untuk kembali beraksi depan peminat,” katanya kepada Malaysiakini.

Acara yang bakal berlangsung selama dua hari itu akan bermula seawal pagi hingga malam dan membariskan aktiviti yang sinonim dengan kluster dan sub budaya anak muda.

Bunga Isme

Pada 27 November ini, beberapa aktiviti utama seperti segmen Urban Showdown (Hip-Hop), FIFA21 Youth Championship (eSports) dan Battle at The Botanic (X-Games) akan disulami dengan pelbagai persembahan menampilkan artis utama seperti Bunga Isme dan Strikeout.

Pada sesi malamnya pula akan diteruskan dengan acara KL Street Jam yang bakal menampilkan artis-artis menarik seperti Caramelt Band, Kristal, Mayabayu dan Fugo.

Warga kota akan terus dihiburkan dengan persembahan penutup festival ini iaitu KL Urban Stage bakal menampilkan persembahan hebat dari Monoloque, Aru Peruzza, Banyak Bunyik Republik dan Margasatwa hingga jam 11 malam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Azmir Ahmad, berkata, KL Urban Youth Festival 2021 satu inisiatif DBKL dalam menyediakan ruang rehlah terbaik buat warga kota dan para pengunjung di Taman Botani Perdana.

“Penganjuran ini juga pastinya membantu menggerakkan kembali ekosistem penganjuran acara yang mana bakal membantu pelbagai penggiat industri ini.

“Penganjuran KL Urban Youth Festival 2021 ternyata menjadi pusat aktiviti seni sehenti yang penuh dengan aktiviti menarik kepada golongan belia dan seisi keluarga.

“Ia disediakan secara percuma oleh DBKL,” katanya dalam satu kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS