Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Namewee perjelas lagu 'Fragile' lepas diharamkan China
Diterbitkan:  Nov 23, 2021 2:21 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Penyanyi rap Namewee memang tidak pernah lekang daripada kontroversi. Selepas China mengharamkan lagu terbarunya Fragile kerana didakwa menghina republik berkenaan, video lagu Namewee itu telah mencecah 32.78 juta tontonan dalam masa lebih sebulan sejak tayangan perdananya pada 15 Okt.

Lagu bernuansa hip-hop dalam bahasa Mandarin itu menampilkan duet dengan Kimberley Chen dari Australia yang dikatakan menyindir Beijing dan penyokongnya di kalangan diaspora orang Cina yang sedia menerima laporan media rasmi China.

"Saya fikir lagu itu akan bergema tetapi saya tidak dapat membayangkan sambutan yang besar.

"Kami sangat marah tentang berita tertentu tetapi apabila kemarahan atau rasa putus asa kami melepasi tahap tertentu, kami hanya boleh mentertawakan perkara yang tidak masuk akal itu.

"Saya mahu menggunakan cara yang manis dan sarkastik untuk menjawab perkara ini," kata Namewee, anak kelahiran Muar dengan nama sebenar Wee Meng Chee.

Lagu Fragile menyasarkan "little pinks" merujuk kepada golongan nasionalis muda yang tergesa-gesa membela kerajaan China di internet.

Dengan rujukan secara halus dan langsung, ia mengandungi istilah seperti "kem pendidikan semula", "kapas", dan "hubungan yang tidak boleh dipisahkan", menonjolkan isu seperti layanan China terhadap minoriti muslim di Xinjiang, demokrasi di Hong Kong dan kedaulatan Taiwan.

Ia juga menampilkan mainan dalam bentuk kelawar, menyindir sensitiviti China mengenai asal usul virus Covid-19.

Video itu sangat popular di Taiwan, Hong Kong, Malaysia dan Singapura, walaupun terdapat larangan di tanah besar China, yang mana media negaranya mendakwa lagu berkenaan menghina rakyat China.

"Orang yang berbeza mendapat mesej yang berbeza daripadanya. Jika ada yang tersinggung bermakna mereka ialah orang yang digambarkan dalam lagu saya.

"Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa orang Cina hanya merujuk kepada Parti Komunis China atau negara China," tambah Namewee.

Kontroversi terbaru Namewee ini tidak mengejutkan dalam kerjaya seninya dengan lagu-lagu 'panas' seperti Negarakuku (2007), Oh My God (2016), Like A Dog (2018) serta filem Babi ( 2020).

"Saya telah pergi ke mahkamah sejak sedekad lalu. Ia telah menjadi sebahagian daripada hidup saya," katanya kepada BBC.

“Sesetengah orang beranggapan karya saya kontroversi dan saya sentiasa melampaui batas.

“Kadangkala saya berhasrat untuk berbuat demikian dan ada sebabnya.

"Saya mahu lebih ramai orang tahu tentang isu tertentu. Saya mahu lebih ramai orang mengambil berat," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS