Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Rozita Che Wan menegaskan keputusannya menolak untuk melakonkan watak ibu kepada pelakon Remy Ishak bukan kerana besar kepala.

Kata pelakon yang lebih dikenali sebagai Che Ta itu, dia sebenarnya seorang pelakon yang amat terbuka untuk melakonkan watak ibu atau karakter matang namun kali ini dia perlu menjadi realistik.

“Saya okey saja bawa watak ibu, tapi taklah sampai tahap pelakon yang jadi anak tu dewasa.

“Memang sebelum ni saya selalu dapat watak ibu. Cuma agak-agaklah kalau nak gandingkan saya dengan Remy sebab dia terlalu dewasa untuk jadi anak saya dalam drama berkenaan.

“Kalau nak gandingkan pelakon watak ibu dan anak, biarlah ikut logik akal,” katanya.

Sebelum ini, Che Ta sudah beberapa kali digandingkan dengan Remy tetapi dalam kerjasama mereka itu dia membawa watak sebagai kekasih.

Antaranya termasuk telefilem berjudul Masihkah Ada Sinar yang turut berentap di Anugerah Skrin 2011.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu ditemui pada majlis anjuran syarikat pelaburan, pengurusan dan pembangunan hartanah, HOMEVEST.

Kebetulan adik ipar aktres itu, Wira Muhammad Faizal Zainol menjadi penasihat syarikat terbabit.

Che Ta yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan kelapan dengan Zain Saidin pada 11 Disember ini juga mengakui tidak sabar untuk berpindah ke kediaman baru di Petaling Jaya, Damansara.

“Soal pindah rumah baru tertunda sebab situasi pandemik Covid-19 semasa. Dulu saya pernah terkena sampai rugi jutaan ringgit sebab projek pengubahsuaian rumah gagal disiapkan kontraktor dilantik.

“Tapi sekarang saya seboleh-bolehnya cuba curi masa mengawasi perkembangan proses ubah suai dan siapkan rumah berkenaan dengan kontraktror lain.

“Adik ipar saya yang tahu selok belok hartanah dan perumahan banyak membantu serta beri nasihat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS