Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suami Nynaa Harizal tak tolak faktor kewangan punca konflik

Suami pelakon Nynaa Harizal, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas, menganggap isu kewangan mungkin menjadi antara pencetus konflik dalam rumah tangga yang mengeruhkan hubungan mereka hingga kini.

Fahmy berkata, konflik dalam hubungan mereka juga mungkin melibatkan ibu Nynaa sehingga menyebabkan muncul rasa kecil hati.

“Saya sudah cuba ajukan soalan yang berkaitan kepada ibu mentua atau melalui Nynaa namun tidak mendapat sebarang respons. Tapi saya rasa isu akan jadi besar,” katanya.

Bagaimanapun, kata Fahmi - yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MFI Group itu - dia tidak boleh mendedahkan secara terperinci berkaitan maklumat tersebut.

“Tapi apa saya boleh tegaskan adalah, Alhamdulillah, perkahwinan kami yang terjalin selama dua bulan memang tak ada masalah kewangan apa pun,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media khas berkaitan kontroversi rumah tangganya yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi dan Nynaa bernikah pada 28 Ogos lalu.

Pada 3 Nov lepas Fahmi mendakwa isterinya 'dilarikan' oleh bapa mentuanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama di Setia Alam.

Janji dan bersumpah

Bapa Nynaa, Harizal Hashom, 49, sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membuat ugutan menggunakan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki. Kejadian itu berlaku ketika episod Nynaa didakwa dilarikan oleh keluarganya. 

Bagaimanapun Nynaa, 25, dalam kenyataan media semalam menafikan dakwaan dan telahan suaminya, malah menyifatkan ia sebagai tidak benar.

Kontroversi dan kemelut perkahwinan mereka kian tegang apabila pelakon itu memfailkan permohonan cerai dengan talak atau dengan perintah atau lazim dirujuk sebagai Perceraian Cara Baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 pada 10 Nov lalu.

Sebutan pertama kes mereka itu berlangsung semalam. 

Dakwa Fahmi, 29, permohonan perceraian secara baik difailkan Nynaa itu juga suatu manipulasi memandangkan oleh isterinya itu meletakan tujuh syarat yang dirasakan berat sebelah untuk bertemu ketika dihubungi pada 12 Nov lalu.

Katanya, dia juga musykil mengapa Nynaa memfailkan perceraian di Johor Bahru sedangkan keluarganya tidak bermastautin di sana.

“Bapa dia berjanji dan bersumpah untuk hantar Nynaa selepas mengubatnya namun saya ragu-ragu untuk apa, kerana dia tak ada sakit. Bagi saya, nak hantar pulang tu hanya harapan palsu.

“Dalam perbualan kami, Nynaa memaklumkan sekiranya ingin bertemu, saya perlu datang seorang diri di pejabat peguamnya di Johor Bahru tanpa membawa sesiapa sama ada pengawal peribadi, pemandu atau pun media serta merekod apa-apa ketika bertemu.

“Kata nak jumpa, tapi kenapa banyak sangat syarat? Rasa tak sedap hati dan memang betul telahan saya apabila panggilan selama tiga minit dibuatnya itu dimasukkan dalam kenyataannya kepada media,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Nynna untuk maklum balas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS