Seorang penulis yang dikatakan penerima anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didakwa menciplak karya sastera yang kemudian disiarkan di beberapa medium termasuk dalam majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Perkara itu pada awalnya didedahkan kepada umum melalui satu notis di Facebook menyatakan permohonan maaf oleh editor Dewan Sastera susulan kesilapan menyiarkan sebuah sajak yang mengandungi unsur-unsur ciplak oleh penulis berkenaan.
Dewan Sastera dalam pemberitahuan tersebut turut memuat naik sajak hasil nukilan penulis yang menggunakan nama pena yang tidak asing dalam kalangan penggiat sastera arus perdana.
Sajak berjudul Mahukah Engkau Lelap Sekejap di Halaman Yang Tiada Pohon Rendang itu disiarkan Dewan Sastera pada edisi Disember 2021 secara dalam talian.
Karya tersebut didakwa diplagiat daripada sebuah sajak penulis dari Indonesia, Setia Naka Andrian, yang disiarkan dalam buku kumpulan puisinya berjudul Orang-orang Kalang (diterbit pada 2017).
Turut didedahkan ialah sebuah sajak karya Teratai Abadi didakwa diplagiat individu terbabit.
Bagaimanapun permohonan maaf Dewan Sastera itu kemudian dipadam. Namun siri kegiatan yang didakwa menciplak oleh individu terbabit terus dibongkar oleh penggiat sastera.
Tuntut permohonan maaf
Malaysiakini difahamkan pihak editorial Dewan Sastera bertindak menarik balik siaran karya yang dikatakan berunsur saduran itu dari terbitan terbabit.
Susulan perkembangan itu pertubuhan Gerak Malaysia dan Bilik Penyair tampil mendesak pihak berwajib mengekang jenayah ciplak selepas munculnya dakwaan tersebut.
Dalam kenyataan bersama pertubuhan itu berkata, mereka mengecam tindakan penulis menciplak karya penulis Indonesia (Setia Naka Andrian) dalam Dewan Sastera Bil. 12/2021, juga tulisan pengkaji dan penulis lain yang diterbitkan dalam majalah Pelita Bahasa selain beberapa tulisan lain.
Mereka juga membuat tiga tuntutan kepada DBP. Antara menyiarkan makluman ralat kepada khalayak pembaca dan permohonan maaf kepada pemilik karya asal, serta menyatakan butiran pesalah dan karya yang diciplaknya.
"DBP (perlu) menyekat serta-merta kiriman karya daripada penciplak tersebut supaya masalah besar ini tidak lagi berlaku di masa hadapan.
"Kami menyeru para penggiat sastera daripada kalangan persatuan untuk bertegas mengeluarkan kenyataan dan menyedarkan masyarakat tentang kesalahan jenayah ciplak dan padahnya. Kami juga memegangi satu tekad bahawa jenayah ciplak wajib ditentang tanpa tolak-ansur," kata kenyataan tersebut.
Sehingga kini kenyataan bersama itu juga turut disokong hampir 100 individu dalam kalangan penggiat dan peminat sastera negara, termasuk Faisal Tehrani dan SM Zakir.
Sementara itu DBP yang dihubungi Malaysiakini menjelaskan mereka menerima aduan berhubung dakwaan tersebut dan siasatan masih dijalankan.
Kata DBP mereka juga masih menunggu penjelasan dan perincian berhubung perkara itu daripada penulis terbabit.
"Sesungguhnya DBP menolak sebarang unsur plagiat dalam mana-mana bentuk penerbitan dan berharap semua pihak turut bertanggungjawab terhadap karya yang dihasilkan sebelum menghantarnya kepada DBP.
"Menyedari akan kepentingan hal ini, sajak yang didakwa mempunyai unsur plagiat tersebut telah pun dikeluarkan dari majalah berkenaan," kata DBP.
Cubaan Malaysiakini untuk mendapatkan reaksi daripada penulis terbabit belum berhasil.