Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Telahan ibu bapa culik saya tidak tepat'
Diterbitkan:  Nov 18, 2021 4:33 PM
Dikemaskini: Nov 19, 2021 10:46 PM

Selepas lama mendiamkan diri, akhirnya pelakon Nynaa Harizal membuka mulut menafikan dirinya ‘diculik’ oleh ibu bapa sendiri.

Aktres itu berkata demikian bagi menafikan dakwaan dibuat suaminya, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas, 29, dilarikan keluarga seperti dalam laporan polis yang dibuat baru-baru ini.

“Untuk menyatakan bahawa kedua ibu bapa menculik atau memaksa saya adalah suatu telahan yang tidak tepat.

“Sejak 2 November lalu, saya pada setiap masa berada dalam jagaan kedua ibu bapa dan ahli keluarga saya di Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan.

Penafian Nynaa atau nama sebenar Nurul Hanynaa Harizal, 25, itu bagi menjernihkan keadaan selepas kontroversi menghimpitnya semakin di luar kawalan.

Katanya, dia juga bertindak mendiamkan diri kerana ingin menjaga hati banyak pihak.

Susulan itu, katanya, bagi mengelak keadaan bertambah keruh, dia melalui peguam syarie memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah mengikut Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003, pada 10 November lalu.

“Salinan diserahkan kepada suami pada keesokan harinya, jam 3.16 petang pada 11 November lalu,” kata Finalis Dewi Remaja 2019 itu selepas menghadiri sebutan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, hari ini.

Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu.

Terdahulu pada 3 November lalu, Fahmi mendakwa isterinya 'dilarikan' oleh bapanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama dan tidak pasti di mana isterinya berada.

Bapa Nynaa, Harizal Hashom, 49, pernah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Shah Alam atas tuduhan ugutan menggunakan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki sebelum ini. Kejadian itu berlaku ketika episod Nynaa didakwa dilarikan oleh keluarganya.

Nynaa bagaimanapun enggan mengulas lanjut punca permohonan cerai antara dia dan suaminya kerana melihat ia sebagai isu peribadi serta tidak mahu mengganggu prosiding mahkamah.

“Hari ini, ditetapkan untuk sebutan bagi permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru. Suami tidak hadir dan hanya diwakili oleh peguamnya saja.

“Sementara proses Mahkamah Syariah ini berjalan dan selagi mana ia tidak menjejaskan prosiding, saya membuka ruang untuk perbincangan dengan suami dan ini dinyatakan kepada suami melalui perbualan telefon pada 12 November lalu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS