Pereka fesyen terkenal Hana Tajima Simpson mengakui sudah tidak bertudung disebabkan tertekan untuk menjadi Muslimah mengikut perspektif dikehendaki masyarakat.
Turut menambah tekanan, katanya, sebagai seseorang berpengaruh di media sosial, tugasnya sebagai ikon hijabista juga membawa beban tidak dikehendaki kerana ia membuka ruang untuk dirinya terus menerus menjadi mangsa kritikan umum.
“Salah satu perkara paling penting yang saya pelajari adalah untuk menjadi lebih terbuka bahawa idea mengenai pekerjaan yang saya miliki sebenarnya tak wujud. Ia adalah fantasi, ia tidak nyata dan tidak menarik.
“Kamu tak boleh belajar apa-apa. Justeru, saya mahu jadi lebih jujur. Sekiranya saya membuatkan pemakaian tudung nampak mudah, maka saya sudah menghampakan kamu.
“Dan saya mohon maaf, kerana ia sebenarnya ia tidak mudah,” katanya di media sosial.
Wanita berdarah kacukan Inggeris-Jepun yang memeluk Islam pada usia 18 tahun itu berkata, bukan mudah untuk terus menutup auratnya semata-mata demi memuaskan hati orang lain.
Bahkan Hana, 34, menjelaskan, imej bertudung dipakainya yang tidak sempurna juga menyebabkan dirinya terlalu mudah dihakimi.
“Sukar untuk saya bincangkan hal ini dan saya berbolak-balik mengenainya. Apabila saya menutup rambut saya, saya tak selalu menutup telinga atau leher. Saya tak selalu menutup rambut saya sepenuhnya.
“Mencari keseimbangan dengan tudung bukanlah sesuatu yang mudah, tapi saya selalu fikirkan tentang hal itu.
“Justeru, saya boleh faham kenapa model hijab di media sosial memutuskan untuk berhenti bertudung.
“Kamu mengundang begitu banyak tekanan. Kesempurnaan yang sentiasa diteliti. Sehinggakan kamu mula bertanya; adakah saya hanya melakukan ini untuk memastikan orang lain gembira? Ia tak mudah,” katanya.
Pada masa sama, wanita asal England itu berkata, ketika ini, dia ingin berubah menjadi seseorang yang lebih menghargai diri serta cuba mengalihkan fokus terhadap pendapat yang mengatakan tudung sebagai kayu pengukur kepada kebaikan.
“Tiga tahun kebelakangan ini, ia hampir membunuh saya. Saya bergelut dengan begitu banyak kehilangan, masalah neurologi, kemurungan dan beberapa penyakit kronik, kadang-kadang dikuasai rasa gelisah, tapi banyak yang saya pelajari.
“Jadi, tolong fikir semula setiap perkara dengan ikhlas sebelum kamu taip atau bagitahu seseorang bagaimana mereka imej yang perlu pakai.
“Saya menulis ni kerana memilih untuk menerima siapa saya, menerima baik dan buruk yang menjadikan kita manusia. Saya tahu saya boleh jadi lebih baik, tapi saya perlu mengalihkan fokus dari tudung sebagai ukuran untuk apa yang lebih baik.”
Untuk rekod, pada 2010, Hana mula mengenali Islam ketika dia menyambung pelajaran di kolej. Pada ketika itu, dia tertarik dengan sikap rakan-rakannya yang bergama Islam tetapi tidak berminat untuk pergi ke kelab malam dan bersosial.
Selepas memeluk Islam, Hana mula fokus pada kehendak fesyen wanita Muslim dan mula menjual pakaian dalam talian serta mengundang perhatian wanita Muslim yang mementingkan fesyen di Asia Tenggara.
Dia mengunjungi Malaysia pada tahun berikutnya untuk meneroka saluran jualan.
Profilnya yang semakin meningkat menarik perhatian salah satu rangkaian fesyen terbesar di dunia, iaitu Uniqlo yang kemudian memutuskan untuk bekerjasama dengannya.