Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ari Lasso beranikan diri tayang imej botak lepas kemoterapi
Diterbitkan:  Nov 16, 2021 2:10 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Penyanyi Indonesia, Ari Lasso mengakui dia memberanikan diri untuk berkongsi penampilan terkini dirinya yang sudah botak.

Bekas vokalis Dewa 19 itu berkata, perkembangan itu berlaku selepas dia melakukan rawatan kemoterapi buat kali ketiga.

Katanya, kini imej terbaru itu membuatnya kelihatan seperti vokalis Dewa 19, Ahmad Dhani, penyanyi Anji dan YouTuber terkenal, Deddy Corbuzier.

“Memberanikan diri memuat naik hantaran. Sudah kemoterapi

kali ketiga, saya berpeluang menjalani tertentu kerana izin Tuhan dan doa serta sokongan anda semua.

“Ya sudah gundul (botak) seperti @ahmaddhaniofficial @mastercorbuzier @duniamanji.

“Terima kasih rakan-rakan, sayang kamu, hanya Tuhan yang akan membalas,” katanya hari ini.

Untuk rekod, Ari sebelum ini memang terkenal dengan gayanya yang suka mengusik rambut di bahagian depan setiap kali muncul depan khalayak.

Ari, 48, membuat pendedahan dia menghidap kanser yang disebut diffuse large B-cell lymphoma (DLBCL) sekitar September lalu.

Doktor mengesan dia menghidap DLBCL selepas mengadu sakit perut melampau dan hasil pemeriksaan mendapati ada ketumbuhan pada kelenjar limfanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Ari berkata, dia perlu menjalani rawatan bagi mengawal sel-sel barah daripada terus merebak.

Penyanyi Malaikat Itu Nyata itu juga bersedia akan kehilangan rambut atau botak selepas menjalani kemoterapi dan memakai rambut palsu apabila berada di luar rumah selepas ini.

Sebelum ini Ari turut mendedahkan, bil rawatan perubatan itu akan ditanggung oleh seseorang yang disifatkanya sebagai ‘gila.’

Menurutnya, insan dermawan itu bersedia membantunya tanpa balasan agar dia dapat menjalani rawatan sedangkan dia baru mengenali individu terbabit. 

“Kebetulan ada orang gila yang tiba-tiba uruskan semua bayaran.

“Saya mahu berubat di mana saja, dia sudi membantu. Saya dipermudahkan oleh teman kitalah, saya bersyukur kepada Tuhan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS