Selepas beberapa kali menghadiri uji bakat namun tidak berjaya, Nikki Palikat tekad melakukan sehabis baik apabila namanya dipilih menyertai pertandingan Gegar Vaganza 8 (GV8).
Kata penyanyi itu, ini adalah masanya untuk dia kembali menghidupkan kariernya dalam bidang nyanyian secara komersial selepas 10 tahun menyepi.
“Memang pihak Astro ada menawarkan tempat untuk menghadiri uji bakat, namun nama saya tak pernah berpeluang untuk menjadi finalis.
“Cuma mungkin pada ketika itu rezeki saya belum sampai untuk berada di pentas Gegar Vaganza. Peminat pula selalu bertanya bila lagi saya nak buat come back.
“Justeru bila akhirnya benar-benar dapat peluang kali ni, saya tak akan lepaskan untuk melakukan yang terbaik,” katanya.
Menurut Nikki, antara lain, komitmennya untuk menjadi suri rumah serta menjaga anak turut menjadi asbab dia terpaksa menangguhkan hasratnya itu.
“Jika nak jadi penyanyi, komitmen memang besar apatah lagi untuk seorang wanita yang pada masa sama perlu berkorban masa untuk keluarga.
“Bagi saya, komitmen untuk membesarkan anak sebenarnya lebih besar daripada karier sendiri. Saya pula bergelar seorang ibu pada usia yang sangat muda,” katanya.
Nikki atau nama sebenar Nicolette Louisa Palikat itu ditemui pada sidang media pengumuman pertandingan itu yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.
Untuk rekod, Nikki, 36, yang mendirikan rumah tangga dengan komposer Audi Mok itu masih aktif dengan aktiviti pementasan teater muzikal.
Sementara itu, diminta memberi respons berhubung kenyataan Adibah Noor yang menyifatkan dirinya sebagai pesaing terdekat dalam GV8, penyanyi asal Tambunan, Sabah itu hanya menjawab: “Saya belum fikir sampai ke tahap tu lagi.”
Dia turut mengulas penyertaan peserta lain seperti Yasin dan Saiful Apek dari kumpulan Senario, dengan berkata, dirinya teruja mahu melihat apa yang bakal mereka ‘sajikan’ dalam pertandingan itu nanti.
Penyanyi Caramu itu berkata, pentas persembahan pasti akan jadi lebih menarik meskipun ada segelintir pihak mempertikaikan penyertaan kedua-dua pelawak berkenaan dalam pertandingan Gegar Vaganza 8 (GV8) tersebut.
“Saya teramat teruja apabila pihak Astro mengundang kumpulan Senario. Bila dapat bertanding sekali di pentas sama, saya amat terkejut tapi beranikan diri untuk menegur sapa mereka.
“Saya rasa, pertandingan ni akan jadi lebih menarik sebab Senario ada album dan lagu-lagu yang pernah hits,” katanya.