Selepas beberapa kali menolak pelawaan menyertai pertandingan Gegar Vaganza, akhirnya Fazley Yaakob terpaksa menerima lamaran tersebut demi memenuhi hasrat anak bongsunya.
Kata Fazley, dia sedih sekiranya Alayna Selma yang berusia empat tahun itu selama-lamanya tidak akan mengetahui dia pernah digelar Abang Asmara disebabkan lagu Asmara Ini - yang menjadi hits suatu ketika dulu.
“Sebenarnya dah beberapa kali dipelawa masuk Gegar Vaganza 8 (GV8) tapi tak berbuat demikian disebabkan kekangan masa bekerja.
“Masa dapat tawaran tu memang dalam fikiran saya 50-50 peratus saja memandangkan mempunyai jadual yang sibuk.
“Tapi saya sedih bila terkenangkan Alyana yang pernah tanya sama ada dida (ayah) pernah menyanyi atau tak,” katanya.
Fazley yang nama sebenar Ahmad Fadzli Yaakob itu berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu Alayna mengetahui perkara itu melalui mulut orang lain.
“Lepas solat, pandang Alyana baring di tepi sejadah, masa tu dia tengok video saya dukung abangnya sambil menyanyi.
“Alayna berkata; dia mahu didanya menyanyi sambil mendukungnya secara langsung di televisyen, justeru saya anggap ini seperti suatu seruan untuk saya kembali menyanyi di pentas besar seperti GV8,” katanya.
Fazley berkata demikian ketika ditemui pada sidang media GV8 kelmarin di ibu kota.
Untuk rekod, kali terakhir Fazley menerbitkan single Wo Ai De Ni pada 2018, sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Dan katanya, dia sering juga memenuhi undangan nyanyian di majlis korporat.
Selain Alayna, Fazley yang mendirikan rumah tangga dengan Azrene Soraya Abdul Aziz juga mempunyai tiga lagi anak iaitu Ahmad Fariedz Shah, 12, Ahmad Fieradz Shah, 11, dan Ahmad Firudz Shah, 9.
Namun menurut Fazley, 43, dia akui berdada gemuruh untuk kembali beraksi di pentas apatah lagi perlu bersaing dengan penyanyi lain yang berbakat besar serta berpengalaman.
“Perasaan saya gementar sebab biasanya dapur yang berasap dan asyik jadi juri program memasak saja.
“Kini masa untuk buka pentas dan mereka kritik nyanyian saya saya setiap minggu apatah lagi gelaran Abang Asmara tu dah 22 tahun,” katanya.
Mengulas kebimbangannya untuk membawa genre lagu berbeza daripada biasa dibawakannya, Fazley berkata dia yakin tiada masalah.
“Insya-Allah saya yakin tak ada masalah untuk menyanyikan genre yang ramai orang tidak pernah tahu saya boleh bawa.
“Jika diberi tugasan waima menyanyi lagu dangdut sekalipun saya yakin boleh bawa genre tu kerana membesar di Indonesia malah bapa pun penggemar lagu lagu dangdut,” katanya.